KETUA Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberitahu bahawa belum ada rancangan bekerjasama secara rasmi dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad, khasnya untuk pilihan raya negeri (PRN).
Jelas Datuk Razali Idris, kerjasama pemimpin parti dengan bekas Perdana Menteri itu terhad kepada Proklamasi Melayu setakat ini dan tidak lebih daripada itu.
“Kita sokong sajalah ‘dari luar’ dan kita sokong penyatuan Melayu. Itulah kerjasama yang saya difahamkan oleh parti Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin (presiden parti) dengan Mahathir untuk saat ini,” katanya kepada FMT.
“Rakyat (pun) mahu tengoklah (Mahathir dan Muhyiddin bekerjasama lagi) sebab dia dah bergaduh sehingga terbentuknya kerajaan, sehingga Mahathir meletak jawatan (sebagai perdana menteri pada 2020).
“Jadi, dia padam semua krisis, hanya untuk penyatuan Melayu. Jadi kita bekerjasama untuk itu dulu, tidak lebih daripada itu.”
Mahathir dilaporkan sedia bekerjasama dengan Muhyiddin sekali lagi, dengan syarat kedua-duanya boleh mencapai kata sepakat mengenai objektif yang boleh dicapai bersama.
Razali sebelum ini berkata, belum masanya untuk dua bekas perdana menteri itu berdamai, walaupun ‘hari itu akan tiba’.
Razali antara tiga pemimpin Bersatu yang menandatangani Proklamasi Melayu, bersama Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ahli Majlis Tertinggi, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid.
Katanya, Muhyiddin memberi lampu hijau kepada pemimpin Bersatu menyokong pengisytiharan Mahathir dalam kapasiti peribadi mereka.
Sementara itu, Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengalu-alukan kesediaan Mahathir bekerjasama dengan Muhyiddin sekali lagi, dengan mendakwa ia demi ‘kebaikan lebih besar’ Malaysia.
Ahli Parlimen Machang itu berkata, kerjasama terbabit akan melangkaui pilihan raya kerana dua pemimpin itu sedar isu dihadapi masyarakat Melayu.
“Jika kita boleh mendapatkan sokongan daripada negarawan disegani seperti Mahathir, bagi saya sebagai ketua Pemuda Bersatu, ia amat dialu-alukan.
“Ia boleh berhasil kerana Mahathir tidak berada dalam mana-mana parti politik ketika ini. Beliau berkhidmat dengan baik kepada negara dan membina Bersatu bersama Muhyiddin. Saya optimis kerjasama sebegini akan berjaya,” katanya, lapor FMT.
Leave a Reply