KERAJAAN perlu mencari jalan penyelesaian segera dalam membantu sebahagian besar rakyat di negara ini keluar dari kelompok kemiskinan.
Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan, Mahathir Mohd Rais berkata, kerajaan mempunyai keupayaan dengan menilai kembali garis kemiskinan, selari dengan standard antarabangsa.
Dalam satu kenyataan beliau berkata, walaupun kadar kemiskinan negara menurun dengan ketara berbanding lima dekad dahulu dengan kadar kemiskinan mutlak peringkat nasional turun daripada 49.3 peratus pada tahun 1970 kepada 5.6 peratus pada tahun 2019 ia bukanlah sesuatu yang perlu dibanggakan.
“Selain itu, kadar kemiskinan di bandar menurun daripada 21.3 peratus kepada 3.8 peratus, manakala kadar kemiskinan di luar bandar menurun daripada 58.7 peratus kepada 12.4 peratus.
“Secara keseluruhan dalam tempoh lima dekad, pertumbuhan purata ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.8 peratus setahun antara 1971 hingga 2021, manakala bagi tempoh 1971 hingga 1990, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berkembang sebanyak 6.7 peratus,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia yang megah dengan kepelbagaian bangsa dan keunikan alam semula jadi, masih lagi dilanda dilema kemiskinan yang menghantui kehidupan seharian rakyat, khususnya komuniti Melayu.
“Isu kemiskinan tidak seharusnya dijadikan bahan politik bagi kepentingan pihak tertentu. Kita melihat bagaimana bantuan dihulurkan bukan berdasarkan kepada keperluan, tetapi berdasarkan atas aspirasi ‘parti politik’ tertentu. Penderitaan rakyat tidak sepatutnya dijadikan alat untuk meraih sokongan politik.
“Memang suatu hakikat yang tidak boleh dinafikan bahawa isu kemiskinan masih menjadi masalah utama dalam kalangan masyarakat Melayu. Pendapatan isi rumah yang jauh lebih rendah berbanding kaum lain menunjukkan adanya jurang luas yang perlu dirapatkan,” katanya.
Mahathir berkata, usaha untuk mengatasi masalah ini perlu dilakukan dengan lebih sistematik dan berkesan agar ia benar-benar memberi impak positif dan bukan sekadar menjadi aliran yang tidak membawa kepada perubahan.
“Walaupun kerajaan telah membentuk pelbagai agensi untuk mengatasi isu kemiskinan, persoalannya masih tetap sama, adakah pemimpin kita cukup ikhlas dan jujur dalam melaksanakan tanggungjawab mereka?
“Mungkinkah kita perlu bertanya soalan yang lebih mendalam: adakah bantuan dan pertolongan yang dihulurkan oleh kerajaan benar-benar berdasarkan atas dasar kemanusiaan atau hanya sekadar gimik politik.
“Pertama sekali, tahap gaji bagi kebanyakan individu tidak mencukupi dengan kenaikan kos sara hidup yang mendadak. Sejak pandemik Covid-19, kenaikan harga barang dan perkhidmatan telah menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup, sedangkan pertumbuhan gaji telah perlahan sejak beberapa dekad lalu,” katanya.
Mahathir berkata, pendekatan kerajaan untuk mengekang kos sara hidup yang meningkat, dengan tidak menaikkan gaji, telah mendapat tentangan hebat dan kritikan daripada rakyat.
“Inilah landskap kontemporari kita yang penuh dengan ironi pada satu pihak, kita melihat kemajuan teknologi dan ekonomi yang meroket, tetapi pada sisi lain, kita melihat sebilangan besar rakyat masih bergelut untuk memenuhi keperluan asas mereka setiap hari.
“Di sinilah terletaknya keperluan untuk menyemak semula pendekatan kita terhadap kenaikan kos sara hidup dan pertumbuhan gaji. Adakah kita harus melihat dengan lebih jauh daripada model ekonomi semasa dan mencari penyelesaian alternatif yang lebih adil dan berkesan?,” katanya.
Beliau berkata, ini bukan lagi soal keuntungan semata-mata, tetapi soal hakikat bahawa setiap rakyat berhak hidup dengan martabat dan kesejahteraan. Ini adalah soal membina masa depan di mana setiap rakyat dapat hidup dalam masyarakat yang adil dan saksama, di mana upaya mereka diberi ganjaran yang setimpal.
Leave a Reply