Serangan peribadi UMNO,PH akan pengaruhi langkah politik saya – KJ

BEKAS  Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata serangan “peribadi” dibuat pemimpin dan ahli UMNO serta Pakatan Harapan akan mempengaruhi langkahnya dalam politik.

Khairy, yang dipecat UMNO pada Januari, menegaskan Bersatu dan Pas tidak pernah bercakap perkara negatif mengenai diri beliau.

“Secara peribadi, Bersatu dan Pas tidak benar-benar bercakap apa-apa yang buruk mengenai saya. Tapi, kalau anda lihat komen UMNO dan PH atau orang PH, ia bukan kritikan yang adil, ia adalah peribadi. Pada tahap psikologi, mungkin akan mempengaruhi tindakan saya selepas ini,” katanya dalam episod terbaru podcast “Keluar Sekejap”.

Sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui menawarkan jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu kepada Khairy, jika beliau mahu menyertai parti itu.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mendedahkan, tawaran berkenaan dikemukakan kepada Khairy selepas dipecat Umno.

Bagaimanapun, Khairy yang masih tidak berparti dilihat lebih selesa “mengunci mulut” mengenai masa depan politik walaupun sudah ditawarkan menyertai Bersatu.

Sementara itu bercakap sebagai tetamu episod ‘Keluar Sekejab’ itu, Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Faysal Wan Ahmad Kamal berkata, isu bangsa, agama dan Raja-raja atau 3R dilihat tidak selamanya ‘laku’ terutamanya ketika menghadapi PRN di Selangor,.

Sebaliknya kata beliau  PN kini dalam fasa penstrukturan semula naratif yang dilihat lebih menyeluruh untuk rakyat Malaysia.

“Kita dah maklum PN diterima orang Melayu kerana pendirian kami dalam isu 3R tapi kami pun setuju, kelemahan kami mengetengahkan isu lebih kepada pembangunan. Jadi perkara ini kena ada anjakan dalam kempen kami dan saya rasa Selangor akan membuka ruang tersebut,” katanya.

Ahli Parlimen Machang itu berkata demikian ketika ditanya tindakan PN yang dilihat menggunakan isu 3R di pentas politik seolah-olah memainkan perang budaya, dan tidak menyentuh isu pembangunan rakyat.

Wan Fayhsal turut menolak andaian itu, sebaliknya berkata, pimpinan PN ada juga membawa isu rakyat di Dewan Rakyat.

“Dalam perbahasan Belanjawan Titah Diraja, pembangkang banyak bawa idea bernas contohnya tenaga hijau.Saya sendiri bawa isu pelaburan keluar dan pembangunan mampan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *