Kartel padi lintah, penghisap darah petani – Sanusi

Oleh BADLISHAH MAT

SEKTOR pertanian terutamanya penanaman padi di Kedah tidak akan dapat ditingkatkan selagi kartel yang menguasai industri terbabit tidak dihapuskan sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan yang mempunyai kuasa mutlak dalam hal itu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, sehingga kini tidak ada pihak-pihak terlibat yang sanggup untuk memerangi habis-habisan kartel padi yang mengawal input pertanian, timbangan padi di kilang serta jentera dan mesin pembajak yang digunakan.

Katanya, walaupun terdapat usaha untuk menambah keluasan tanah sawah dan menggesa petani berubah sikap, kehidupan para petani tetap tidak akan berubah selagi terdapat kartel yang mengawal tanaman itu.

“Ghimbok (belasah) semua kartel ini kasi hancur, musnahkan semua tali barut ini semua. Mereka ini lintah dan penghisap darah para petani. Kita kena ubati perkara ini kerana mari lah menteri cap apa pun kalau benda ini tak berani dihadapi maka sektor pertanian dan kehidupan petani tak akan berubah.

“Tak payah cakap pasal (petani) umur 63 tahun, sikap malas (petani) kerana kalau rajin tara mana pun bila (padi) dibawa ke kilang timbangan banyak itu juga, macam mana pendapatan nak meningkat. Lepas itu salahkan kerajaan negeri dan kata padi ada di Kedah, maka Kedah la kena tengok (pantau).

Kuasa tak ada kat kita, kuasa ada kat orang lain. Kalau tak larat buat (bertindak) bagi kuasa itu kat kita (kerajaan negeri),” katanya ketika merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat Kedah di Alor Setar, hari ini.

Menurut beliau, perkara mengenai alat timbangan padi terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), manakala baja pula diberikan kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sementara pihak swasta ditugaskan menghasilkan benih padi.

“Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang ada bendang untuk hasilkan benih padi tak diberi tanggungjawab itu (sebelum ini) sekarang baru bagi sikit kerana mereka beri kepada kilang yang bendang pun tak ada. Maka pihak itu pi cari orang lain pula untuk hasilkan benih,” katanya.

Muhammad Sanusi mendakwa, jumlah pengeluaran hasil padi di negeri Kedah seolah-olah sudah ditetapkan setiap tahun iaitu enam tan metrik bagi setiap hektar walaupun para petani mampu menghasilkan padi sehingga lapan tan metrik sehektar.

“Padi bagi kawasan negeri Kedah sehektar akan keluar tak lebih enam tan walaupun sebenarnya boleh capai tujuh ke lapan tan. Tapi berat kita hanya enam tan, sudah dikunci (jumlah itu) yang dipegang kartel.

“Saya dapat laporan timbangan padi di kilang keluar resit tahun lepas. Ini bermakna berat mana pun padi dihasilkan tahun ini yang sebenarnya boleh tingkat pendapatan petani tapi sudah diset padi di lot sekian-sekian untuk selori akan keluar (jumlah) tan yang telah ditentukan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *