SEORANG wanita ditahan selepas dipercayai menetak suaminya di lengan kanan menggunakan pisau pemotong daging di rumah mereka di Pengkalan Chepa, di Kota Bharu, pukul 12 tengah hari kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, suspek berusia 30 tahun ditahan di rumahnya pukul 3 petang semalam susulan laporan dibuat oleh bapa mangsa tengah malam kelmarin.
“Pihak polis menerima laporan berkaitan mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata pukul 12 tengah malam kelmarin.
“Berdasarkan keterangan bapa mangsa, dia dimaklumkan oleh anaknya yang lain memaklumkan mangsa berusia 31 tahun ditetak oleh isterinya menggunakan pisau pemotong daging.
“Bertindak atas laporan yang diterima, suspek ditangkap di rumahnya di Pengkalan Chepa pukul 3 petang semalam,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, hasil ujian saringan awal terhadap suspek adalah negatif dan suspek kini ditahan reman selama enam hari bermula hari ini.
“Kes disiasat mengikit Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” tambah beliau, memetik laporan Harian Metro.
Leave a Reply