Sektor koperasi digalak teroka peluang pelaburan emas

SEKTOR koperasi digalakkan supaya meneroka peluang dalam pelaburan emas khususnya patuh syariah bagi meningkatkan lagi penjanaan perolehan.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, pelaburan emas dapat membantu mengurangkan pelbagai risiko khususnya ketidaktentuan mata wang.

Abdul Fattah turut menaruh keyakinan bahawa penglibatan koperasi dalam pelaburan emas berpotensi menjana keuntungan yang baik.

Malah, kata beliau, ia juga dikenal pasti dapat memacu kegiatan ekonomi dalam berkoperasi untuk manfaat anggota secara keseluruhannya.

“ANGKASA sebagai badan apeks gerakan koperasi negara yang diiktiraf kerajaan sentiasa melaksanakan inisiatif bagi mewujudkan bidang baharu untuk diceburi koperasi.

“ACO Gold Sdn Bhd telah ditubuhkan hasil usahasama MyAngkasa Holding Sdn. Bhd dan ASEAN Cooperative Organization (ACO) dengan fungsinya adalah untuk meningkatkan perdagangan dan transaksi antara koperasi di negara-negara ASEAN melalui perdagangan emas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Fattah dan delegasi ANGKASA mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Quantum Metal Sdn Bhd di George Town, Pulau Pinang, kelmarin.

Lawatan tersebut bertujuan meninjau ibu pejabat syarikat tersebut bagi membincangkan tentang pelan dan strategi perniagaan untuk meningkatkan pelaburan serta perdagangan menerusi penggunaan emas sebagai aset dalam kalangan koperasi.

Quantum Metal juga telah melancarkan mesin pengeluaran emas bagi membolehkan pengguna membeli jongkong emas fizikal dengan mudah di tiga cawangannya iaitu di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Quantum Metal, Datuk Lim Khong Soon turut menggalakkan orang ramai khususnya ahli koperasi menyimpan emas fizikal bagi pelaburan jangka masa panjang.

Jelas beliau menyimpan emas fizikal merupakan cara terbaik untuk melindungi pelaburan dari nilai inflasi.

“Memandangkan keadaan ekonomi semasa di Malaysia yang tidak menentu, kita harus mempertimbangkan untuk menyimpan emas fizikal bagi melindungi aset dan pelaburan yang sedia ada.

“Mesin pengeluaran emas Quantum Metal membolehkan pengguna membeli jongkong emas fizikal dengan ketulenan 999.9 dengan mudah,” katanya.

Quantum Metal merupakan sebuah syarikat pengimport dan pembekal emas di Malaysia serta negara-negara serantau.

Selain mengedar emas London Bullion Market Association (LBMA) di Malaysia, syarikat tersebut juga menyediakan produk emas premium 99.9 peratus ke pasaran termasuk badan kerajaan, bank, institusi kewangan, pemborong dan peniaga emas individu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *