BEKAS Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menafikan laporan sebuah portal berita kononnya beliau akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang akan datang.
Menerusi ciapan di laman sosial Twitternya hari ini, Nurul Izzah berkata, laporan tersebut adalah tidak benar.
Mengulas lanjut, anak kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berkata, beliau kekal komited dengan tanggungjawab kini dalam mengetuai secara bersama sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan yang dipengerusikan Tan Sri Hassan Marican.
“Saya menggesa media untuk lebih bertanggungjawab dalam laporan dan tidak memberi kredit terhadap dakwaan yang tidak sahih,” katanya menerusi ciapannya yang turut disertakan dengan tanda pagar #TidakPastiJanganKongsi.
Terdahulu awal hari ini, sebuah portal berita melaporkan, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR dijangka bertanding dalam PRN Pulau Pinang dan akan dilantik ke jawatan penting sekiranya Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa.
Memetik sumber yang tidak dinamakan, laporan berita portal itu melaporkan, penyertaan Nurul Izzah dalam PRN itu boleh meningkatkan peluang partinya untuk mengekalkan kerusi di DUN dan membantu mendapatkan undi daripada golongan wanita.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Nurul Izzah gagal mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh selepas tewas kepada calon pas, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan dengan majoriti 5,272 undi, sekali gus mengakhiri penguasaan keluarga Anwar di kerusi tersebut sejak 40 tahun lalu.
Leave a Reply