SEORANG wanita yang mendapatkan rawatan kerana mengesyaki dirinya disihir mendakwa dicabul pengamal perubatan tradisional ketika rawatan di Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.
Perbuatan terkutuk lelaki berusia 60-an itu terbongkar selepas mangsa berusia 27 tahun membuat laporan polis, Ahad lalu.
Menurut sumber, kejadian berlaku pada 22 Mei lalu ketika mangsa bersama tunangnya ke pusat rawatan tradisional berkenaan dan bertemu seorang lelaki yang mengaku pengamal perubatan.
“Mangsa mendakwa disuruh memasuki sebuah bilik dan semasa proses rawatan, lelaki itu menyentuh bahagian badan dan kemaluannya beberapa kali.
“Sebaik selesai rawatan, lelaki itu menyuruh mangsa mandi dan meneruskan semula sesi rawatan mereka yang mengambil masa lebih dua jam.
“Semasa rawatan kedua itu, mangsa mendakwa diperlakukan perkara sama ke atas dirinya menyebabkan dia berasa takut lalu keluar dari bilik berkenaan,” katanya, memetik laporan Harian Metro.
Sumber berkata, mangsa kemudian menceritakan kejadian itu kepada tunangnya.
Katanya, mangsa yang trauma dengan perbuatan pengamal perubatan terbabit tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
Beliau berkata, suspek ditahan dan direman sehari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Leave a Reply