Chow Kon Yeow

Pulau Pinang lihat dengan serius gurauan Sanusi negeri itu milik Kedah

KERAJAAN Negeri Pulau Pinang menganggap kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang mana Pulau Pinang adalah milik negeri tersebut adalah satu perkara yang serius.

Bagaimanapun, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kenyataan sedemikian oleh Muhammad Sanusi bukan sesuatu perkara baharu, malah banyak isu berkaitan Pulau Pinang disebut oleh Menteri Besar Kedah itu sebelum ini.

“Menteri Besar Kedah menyatakan dia bergurau bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah, (tetapi) ia bukan satu gurauan yang baharu, tetapi gurauan secara serius.

“Maka, kita pun dengar secara serius, jadi beliau boleh terus bergurau,” katanya kepada pemberita di George Town, Pulau Pinang hari ini.

Semalam, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah dan beliau mendakwa Kedah hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.

Kenyataan Muhammad Sanusi itu turut menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membidas beliau kerana katanya, sebagai seorang Menteri Besar, Muhammad Sanusi seharusnya terikat dengan aspek perundangan dan faham mengenai perlembagaan.

Anwar berkata, setiap pemimpin perlu menghormati perjanjian perlembagaan yang telah diperkenan oleh semua Raja-Raja Melayu termasuk Sultan Kedah dalam isu tersebut.

Sementara itu, ditanya sama ada Pulau Pinang akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Muhammad Sanusi, Kon Yeow berkata, Pulau Pinang bersedia berdepan dengan Menteri Besar Kedah itu di mahkamah.

“Seperti isu-isu sebelum ini, kita memang kata kita jumpa di mahkamah.

“Apa-apa tuntutan termasuk bayaran air, tuntutan ke atas Seberang Perai, kita jumpa di mahkamah, namun sehingga kini, Muhammad Sanusi hanya bergurau dan tidak pernah mengambil apa-apa tindakan undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut berseloroh dengan menyatakan beliau tidak berani menasihatkan Muhammad Sanusi untuk menghentikan ‘gurauan’ berkaitan Pulau Pinang.

Sebaliknya, kata beliau, adalah lebih baik rakyat Kedah serta pengundi negeri itu sendiri yang membuat penilaian.

“Mungkin beliau tidak ada isu pun nak disebut sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *