SERAMAI 9,078 jemaah haji Malaysia kini sudah berada di Mekah dan Madinah, kata Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.
Katanya, daripada jumlah itu seramai 2,966 orang di Makkah dan 6,112 di Madinah.
‘’Mereka adalah jemaah yang telah berlepas 21 Mei lalu melibatkan 30 daripada 98 penerbangan dan penerbangan terakhir dijangka tiba di Tanah Suci pada 21 Jun ini,’’ katanya lapor wartawan SINAR HARIAN di Mekah
Beliau berkata, setakat ini operasi haji berjalan lancar manakala kesihatan jemaah berada dalam keadaan baik.
“Bagaimanapun lapan jemaah dimasukkan ke hospital iaitu enam orang di Hospital Tabung Haji (TH) di Madinah dan Mekah, manakala dua lagi ditempatkan di hospital Arab Saudi di Mekah. Mereka yang berusia 60 tahun ke atas itu dirujuk ke hospital kerana mengalami jangkitan paru-paru dan seorang jemaah wanita cedera di kaki kerana terjatuh,” katanya.
Dalam pada itu, Syed Saleh berkata, Malaysia sekali lagi menjadi negara pertama mendapat kebenaran daripada kerajaan Arab Saudi pada 25 Mei lalu untuk membuka operasi pusat kesihatan di Madinah.
“Alhamdulillah ini adalah satu pengiktirafan kepada perkhidmatan kesihatan kita dan juga menunjukkan persediaan dan fasiliti yang ada telah mencapai satu tahap tinggi membolehkan kepada kebenaran beroperasi ini. Dari segi nisbah kemudahan yang disediakan seperti katil dan doktor dengan jumlah jemaah haji, tidak dapat dinafikan bahawa kita yang terbaik dan tertinggi berbanding dengan pihak lain,” katanya.
Beliau berkata, pada tahun ini juga kriteria untuk mendapatkan kelulusan adalah lebih ketat namun TH berjaya memenuhi setiap keperluan yang ditetapkan Arab Saudi.
Kata beliau, antara perkara yang dinilai ialah dari segi fasiliti, ambulans, peralatan, ruang beroperasi, jumlah pakar perubatan dan pengurusan sisa klinikal.
Syed Saleh berkata amalan dan prosedur operasi standard (SOP) sektor kesihatan Malaysia membantu kelulusan berkenaan, selain hubungan baik Malaysia-Arab Saudi khususnya rombongan haji negara dengan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
“Untuk kelulusan pusat kesihatan di Mekah pula, ia sedang diusahakan seperti mana yang dilakukan di Madinah yang mana kita sudah bertungkus-lumus sejak tiga bulan lalu,” katanya.
Leave a Reply