ISU tawaran kepada Pas menyertai Kerajaan Perpaduan ‘semakin panas’ apabila seorang lagi pemimpin kanan parti itu mengesahkan perkara itu.
Ketika mendedahkan perkara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu BERITA HARIAN, beberapa pihak menghubungi dan menemui bagi bagi tujuan sama.
Tuan Ibrahim berkata tawaran disampaikan wakil kerajaan yang bertemu dengan beliau sendiri.
“Pertama saya sahkan apa yang dinyatakan oleh presiden, bahkan mereka (wakil Kerajaan Perpaduan) juga bertemu dengan saya menyampaikan tawaran itu. Namun kami nyatakan pendirian kekal bersama Perikatan Nasional (PN) sebagaimana janji semasa kempen, dan kami tidak akan berbohong dengan pengundi,” katanya.
Sebelum ini Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendedahkan tawaran menyertai Kerajaan Perpaduan itu muncul kerana Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR menyedari kedudukannya tidak kukuh, apatah lagi jumlah kerusi Melayu parti berkenaan tidak sebanyak Pas.
“Ada orang hubungi saya, beberapa orang ajak berjumpa dengan tawaran-tawaran supaya Pas menyertai kerajaan kerana jumlah PAS paling besar iaitu 43 kerusi.
“PKR 30 sahaja, dalam keadaan itu 19 kerusi PKR Melayu, DAP tiga orang Melayu, kerajaan didominasi oleh bukan Melayu,” kata Abdul Hadi.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, beliau melihat tawaran itu hadir kerana data mengesahkan sokongan pengundi Melayu kepada PN jauh mengatasi PH.
“Itupun dalam situasi rakyat ditipu dengan janji BN tidak akan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP, demikian juga janji PH tidak akan bersama BN.
“Bahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kalau harapkan untuk melihat gabungan dengan BN , sila cari Presiden lain dari beliau. Ini kenyataan semasa kempen,” katanya.
Leave a Reply