Pecah amanah RM24.8 juta: Penolong Akauntan Kesedar guna identiti 9 individu – Zahid

PENOLONG akauntan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) yang ditahan berkait pecah amanah RM24.8 juta menggunakan identiti sembilan individu dalam badan berkanun itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang mendedahkan perkara itu berkata ia tindakan licik suspek lebih-lebih lagi dilakukan dalam tempoh lama.

Sehubungan itu Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberitahu tindakan tegas akan diambil selain tidak berkompromi kerana perkara itu membabitkan wang rakyat.

“Saya mengambil tindakan tegas dan tidak akan pernah berkompromi kerana ini adalah wang cukai rakyat yang sepatutnya digunakan untuk peneroka Kesedar tetapi sebaliknya individu berkenaan guna untuk kepentingan peribadi. Tangkapan sudah dibuat, saya juga mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian mengambil tindakan perundangan segera,” katanya lapor Berita Harian.

Ahmad Zahid sebelum itu menghadiri majlis pelancaran jerayawara program advokasi antigangguan seksual di Putrajaya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, suspek akan dikenakan tindakan berdasarkan tatakelola sedia ada oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) termasuk digantung tugas.

Sabtu lalu, seorang Penolong Akauntan Kesedar ditahan selepas dipercayai pecah amanah berjumlah RM24.8 juta sejak lapan tahun lalu.

Lelaki berusia 37 tahun itu ditahan pada 12.21 tengah malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Gua Musang.

Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun, berkata suspek ditahan di rumahnya di bandar Gua Musang dan direman tujuh hari bermula Sabtu lalu.

Katanya, penahanan dilakukan susulan laporan polis diterima berkait salah laku oleh kakitangan Kesedar.

Ia berhubung kehilangan wang kerajaan yang diuruskan oleh bahagian kewangan Kesedar melalui Kumpulan Wang Amanah dan Kumpulan Wang Pembangunan dari Disember 2016 hingga Mei 2023.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *