TINDAKAN pemimpin dalam kerajaan campuran meminta kes mahkamah yang sedang berjalan digugurkan membuktikan pemerintahan sekarang bebas melakukan mengikut sesuka hati mereka, kata Senator Datuk Razali Idris.
Beliau mempersoalkan langkah dua pemimpin atasan dalam kerajaan campuran dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membuat permohonan membuang kes mahkamah walaupun belum habis perbicaraan.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menyifatkan permintaan tersebut sebagai sesuatu diluar tabii.
“Jadi rakyat melihat apabila kerajaan Pakatan Harapan memerintah di peringkat Pusat ni, dia cuba nak langgar undang-undang.
“Semua dia nak langgar. Dia memang kerajaan luar tabiee, dia suka buat perkara yang yang bercanggah. Kes masih dalam perbicaraan, lepas itu minta supaya digugurkan,” katanya memetik laporan Agenda Daily.
Razali mengulas langkah dua pemimpin kerajaan campuran, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Lim Guan Eng yang memohon kepada mahkamah untuk menggugurkan kes perbicaraan yang sedang berjalan ketika ini.
Minggu lalu, Pengerusi DAP, Guan Eng membuat permohonan membatalkan pertuduhan kes rasuah serta pengubahan wang haram terhadapnya, isteri, Betty Chew Gek Cheng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon.
Peguamnya, RSN Rayer berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada Mahkamah Tinggi di Georgetown.
Terdahulu, Presiden UMNO itu juga mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menggugurkan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Yayasan Akalbudi (YAB) yang dihadapinya.
Kedua-dua mereka ini sudah menjalani perbicaraan sejak beberapa tahun dan sehingga hari ini belum ada keputusan dimuktamadkan oleh pihak mahkamah.
Jelas Razali, rakyat akan menilai semua tindakan yang sedang dilakukan kerajaan campuran dan akan menghukum mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
“Jadi rakyat melihat semua perkara ini dan mereka akan marah, khususnya pengundi Melayu,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Razali menjangkakan sokongan pengundi Melayu yang diberikan kepada Perikatan Nasional (PN) akan melonjak pada pilihan raya negeri (PRN) memandangkan tindakan UMNO yang duduk bersama DAP, malah sekatan terhadap anak muda dalam media sosial juga dijangka memberi kesan sokongan kepada kerajaan campuran nanti.
“Tapi apabila UMNO dalam keadaan yang rapuh sekarang, maka pengundi-pengundi akan beralih arah.
“Dia (pengundi Melayu) tak boleh pergi kepada DAP, dia akan pergi kepada aa Perikatan Nasional sama ada Bersatu ataupun PAS.
“Anak muda sekarang ini disekat ah media sosial disekat, menteri macam-macam mengambil tindakan kepada media-media sosial, TikTok lah, Facebook apa semua ini. Ia membuatkan anak muda seolah-olah dihimpit,” katanya.
Leave a Reply