Hujan lebat tidak jejas pergerakan jemaah haji Malaysia – Syed Saleh

AMARAN hujan lebat berterusan selama lima hari selain ribut petir di kebanyakan wilayah di Arab Saudi tidak menjejaskan pergerakan jemaah haji Malaysia.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, situasi yang berlaku tidak ditakrifkan sebagai bencana dan hanya dianggap sebagai gangguan kecil kepada aktiviti jemaah haji.

“Tabung Haji (TH) ada prosedur operasi standard (SOP) dan tindakan yang perlu dilakukan jika sesuatu malapetaka berlaku, setakat ini apa yang terjadi pada pagi Isnin hanya hujan yang sekejap.

“Selepas itu kita dapat lihat cuaca kembali seperti asal yang mana aktiviti jemaah seperti umrah dan pergerakan ke Masjidil Haram berjalan seperti yang dijadualkan mengikut perancangan asal,” katanya kepada wartawan Malaysia di Mekah, lapor wartawan SINAR HARIAN.

Syed Saleh dalam pada itu berkata, pihaknya sentiasa mengambil berat akan perubahan cuaca dan telah mengambil langkah sewajarnya bagi menjaga keselamatan jemaah haji.

“Nasihat saya jika berlaku hujan dan ribut sebagainya, jemaah yang berada di bangunan penginapan perlu kekal pada kedudukan mereka, begitu juga yang berada di Masjidil Haram. Apabila keadaan reda bolehlah kembali sambung aktiviti,” katanya.

Sebelum ini Direktorat Pertahanan Awam Arab Saudi yang menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga ekoran amaran hujan lebat berterusan selama lima hari selain ribut petir disertai ketulan air batu dan banjir kilat.

Agensi Berita Arab Saudi (SPA) yang memetik kenyataan direktorat itu melaporkan Kota Makkah yang menempatkan masjid paling suci umat Islam iaitu Masjidilharam akan turut terkesan berikutan fenomena itu.

Pada pagi Isnin juga ratusan ribu jemaah yang selesai menunaikan solat Subuh di ruangan tawaf Masjidilharam dibasahi hujan selama 15 minit.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *