BARU kira-kira setahun dibebaskan dari penjara kerana kesalahan dadah, seorang penganggur ditahan sekali lagi atas kesalahan berkaitan dadah, kali ini kerana dipercayai memproses heroin.
Lebih mengejutkan, suspek berusia 40 tahun yang mempunyai 12 rekod jenayah lampau berkaitan dadah itu mempelajari cara-cara memproses heroin terbabit menerusi laman video YouTube.
Dadah jenis heroin yang diperoleh dari negara jiran itu pula diproses di sebuah rumah teres dua tingkat di Seberang Jaya, Pulau Pinang, disewa kakaknya bersama suami yang juga golongan orang kurang upaya (OKU).
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, suspek ditahan di hadapan rumah teres terbabit kira-kira pukul 10.30 malam Khamis lalu.
Jelasnya, suspek dipercayai memasak dadah jenis heroin di rumah kakaknya itu dan kegiatan tersebut dipercayai diketahui kakak dan suaminya yang kini menjadi saksi utama kes terbabit.
“Dalam serbuan di rumah teres itu juga, kita menjumpai pelbagai peralatan serta bahan-bahan untuk memproses dadah heroin di situ,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.
Menurut beliau, dipandu arah oleh suspek, polis kemudiannya menjumpai sebuah kereta Perodua Alza milik suspek yang diparkir di kawasan terbuka kira-kira 600 meter dari rumah kakak suspek.
Jelasnya, siasatan lanjut kemudian menemukan satu peket plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin seberat 7.4 kilogram bernilai RM61,420 di dalam kereta Perodua Alza tersebut.
Tambah beliau, suspek mula terlibat dalam kegiatan berkaitan dadah sejak 2006 dan ditahan kali terakhir untuk kesalahan memproses dadah adalah pada 2017 serta dibebaskan dari penjara tahun lalu.
Ujarnya, hasil risikan mendapati suspek kembali bergiat aktif memproses dadah heroin tahun ini untuk pasaran tempatan dan jumlah keseluruhan dadah itu boleh digunakan oleh seramai 37,000 orang jika terlepas ke pasaran.
“Hasil ujian air kencing ke atas suspek pula didapati positif dadah dan dia ditahan reman selama tujuh hari sehingga 1 Jun ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Tambah beliau, dalam operasi sama, polis turut menyita sebuah kereta Honda Accord serta wang tunai bernilai RM5,050.
Leave a Reply