Akidah bersih mampu selamatkan diri dari syirik – Pemangku Raja Perlis

AKIDAH yang bersih mampu menyelamatkan seseorang itu daripada syirik dan membawa kepada jalan hidup yang benar, titah Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah syirik adalah ‘ibu kesalahan fikir’ yang membawa seseorang ke arah cara berfikir yang salah dalam pelbagai perkara.

“Sementara khurafat atau kepercayaan yang tidak berasas hanya akan merosakkan fikiran manusia,” titah baginda pada Majlis Penutup Perkampungan Sunnah Siri Kelapan di Masjid Alwi di Kangar malam tadi.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli, barisan exco kerajaan negeri dan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah jika dibiarkan manusia akan mengharap kepada sesuatu yang tidak wujud ataupun tidak benar.

“Dalam membetulkan cara fikir seseorang insan, syirik dan khurafat hendaklah dibersihkan dari merosakkan akal fikirannya.

Maka tema Perkampungan Sunnah yang dipilih kali ini iaitu ‘Membanteras Syirik, Menghapus Khurafat’ mengangkat ketinggian intelektualisme atau keupayaan fikir dan kekuatan akidah umat Islam,” titah baginda.

Baginda bertitah Islam adalah suatu agama yang meletakkan tauhid kepada Allah Aza Wajalla sebagai teras dalam penerimaan segala amal ibadah.

“Apa yang menggusarkan apabila sebahagian daripada umat ini melakukan perkara yang boleh menjerumuskan diri mereka kepada dosa syirik,” titah baginda.

Baginda bertitah dalam berakidah, seseorang Muslim wajib menjadikan al-Quran dan al- Sunnah sebagai panduan dalam kehidupannya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *