Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SEORANG warga emas meninggal dunia selepas kereta dinaiki terbabas dan masuk ke kawasan semak sebelum terbalik di tepi Jalan Perani, Bandar Seri Perani, Kota Tinggi, pukul 7 petang kelmarin.
Kemalangan tersebut mengorbankan Asmah Kental berusia 64 tahun yang mengalami cedera parah.
Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Rafi Mohd. Nor, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 7.05 petang.
Susulan itu katanya, seramai lapan anggota dengan bantuan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dihantar ke tempat kejadian.
“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis
Proton Wira terbabas di bahu jalan. Terdapat dua mangsa iaitu seorang lelaki dewasa, Muhammad Syukur Osman, 30, cedera ringan dan wanita warga emas tersebut cedera,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba sampai dan pihaknya memberikan rawatan awal kepada mangsa.
Katanya, pegawai perubatan yang hadir memberi rawatan ke lokasi kemudian mengesahkan wanita berkenaan telah meninggal dunia.
Tambah beliau, operasi menyelamat tamat pada pukul 8.24 malam.
Leave a Reply