KERAJAAN Kelantan memperuntukkan RM30,000 kepada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) khusus untuk manfaat bidang pendidikan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Mumtaz Md. Nawi berkata, peruntukan itu membabitkan pelbagai program termasuk kemasukan pelajar baharu ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) serta penerima anugerah kecemerlangan.
“Peruntukan ini biasanya diagihkan secara ‘one-off’ (sekali) sebanyak RM100 sehingga RM150 setiap seorang.
“Selain untuk memperkasakan sektor pendidikan di Kelantan, peruntukan terbabit juga diagihkan bagi membantu meringankan beban golongan yang memerlukan,” katanya selepas merasmikan Ekspo Selangkah ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2023 UiTM Cawangan Kelantan di pekarangan Bazar Tok Guru di Kota Bharu, hari ini.
Katanya, selain itu rakyat negeri ini juga boleh memohon pinjaman untuk melanjutkan pengajian dengan agensi di bawah kerajaan negeri iaitu Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) selain Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Bagaimanapun ujar beliau, pinjaman bayaran balik boleh dikurangkn atau ditukar menjadi biasiswa jika penerima mendapat keputusan cemerlang dan memenuhi kriteria yang ditetapkan.
Dalam perkembangan sama, Mumtaz berkata, kerajaan Nlnegeri sudah menyampaikan sumbangan wang tunai kepada pelajar yang tular di media sosial kerana kekurangan dana untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir.
“Sumbangan wang tunai diberikan selain YAKIN turut membantu dan kini pelajar terbabit dalam usaha mencukupkan perbelanjaan yang diperlukan dengan bantuan tambahan daripada masyarakat,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Leave a Reply