Pemandu jengkaut maut dihempap bongkah batu 10 tan

SEORANG pemandu jengkaut ditemui maut selepas dipercayai dihempap bongkah batu seberat 10 tan di sebuah kawasan kuari dekat Simpang Pulai semalam.

Ketua Polis Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kejadian antara 12 hingga 1 tengah hari itu dipercayai berlaku ketika seorang lelaki berusia 48 tahun berasal dari Gerik, Perak sedang menjalankan kerja pembersihan batu di kawasan kuari.

Ketika sedang bekerja, katanya, sebuah bongkah seberat 10 tan jatuh dari ketinggian 25m dan menghempap kokpit menyebabkan mangsa tersepit dalam kokpit jentera berat itu.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan, selepas kerja mengeluarkan batu kuari itu dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada 6.45 petang,” katanya dalam kenyataan.

Yahaya berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *