POLIS menahan seorang penjawat awam sebuah agensi kerajaan di sini, bagi membantu siasatan kes pecah amanah melibatkan kerugian RM24.8 juta.
Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata pihaknya menerima laporan mengenainya semalam, sebelum suspek lelaki berusia 37 tahun yang merupakan penolong akauntan itu ditahan pada 12.21 tengah malam tadi.
“Pihak polis telah menerima satu laporan berkait dengan salah laku oleh petugas agensi kerajaan itu berhubung kehilangan wang kerajaan yang diuruskan oleh Bahagian Kewangan agensi berkenaan melalui Kumpulan Wang Amanah dan Kumpulan Wang Pembangunan.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian salah laku ini dilakukan oleh suspek sejak tahun 2016 hingga Mei 2023.
“Suspek membuat 194 transaksi wang dari akaun Kumpulan Wang Pembangunan dan Kumpulan Wang Amanah milik agensi kerajaan berkenaan ke akaun syarikat milik suspek, yang secara keseluruhan transaksi berjumlah RM24,800,189.73,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhamad Zaki berkata direman hingga 2 Jun untuk siasatan lanjut, dan kes disiasat di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan.
Leave a Reply