Hadi dedah Pas ditawar serta kerajaan tetapi sekadar penyumbang jumlah kerusi
ABDUL Hadi Awang hari ini mempersoalkan tawaran oleh pihak tertentu untuk Pas menyertai Kerajaan Perpaduan tetapi diberi kedudukan kecil;
Presiden Pas itu mendedahkan bagaimana beliau dihubungi beberapa kali oleh ‘orang tertentu’ yang menawarkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan tawaran itu memandangkan ia sepatutnya memberi “kelebihan kepada Pas” yang menguasai lebih banyak kerusi berbanding parti lain.
Sebaliknya kata beliau, tawaran tersebut dilihat lebih bertujuan untuk menyumbang peningkatan jumlah kerusi bagi mengukuhkan kedudukan kerajaan semata-mata.
“Ada orang hubungi saya…beberapa orang acap kali nak berjumpa dengan tawaran untuk menyertai kerajaan. PAS ada 43 kerusi…PKR 30 sahaja. Dalam keadaan 30 kerusi ini, sembilan kerusi adalah bukan Melayu, 19 sahaja Islam. Dalam keadaan PKR, DAP pula, tiga Melayu dari 40 kerusi, 37 kerusi bukan Melayu. Kalau campur gabungan itu, kerajaan akan didominasi oleh orang Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Buku Jejak Nabi Muhammad dan Syarahan Perdana di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Dalam pada itu, Hadi berkata, Pas sepatutnya diberi peranan di hadapan untuk memimpin kerajaan kerana mempunyai lebih banyak kerusi.
“Dia nak ajak Pas, tetapi Pas duduk di belakang, bukan di depan. Patutnya bila buat kerajaan, parti lebih besar memimpin. Ini dia nak suruh macam kepala ular, kecil sahaja,” katanya.
Hadi juga berkata, walaupun beliau terbuka bertemu sesiapa sahaja termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi mestilah tidak lari daripada prinsip, matlamat dan perjuangan Pas.
“Memang kita terbuka dengan sesiapa sahaja, terbuka tetapi mestilah tidak lari dengan konsep, prinsip, matlamat, dan perjuangan kita,” katanya.
Leave a Reply