PN pertimbang ambil tindakan undang-undang terhadap Anwar,Zahid

PERIKATAN Nasional (PN) akan pertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menuduh gabungan itu menerima dana daripada syarikat judi dalam PRU-15.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu lanjutan  siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mendapati tiada bukti berhubung dakwaan berkenaan.

‘’Kenyataan menteri (Datuk Seri Azalina Othman Said)   tidak ada satu pun petanda bahawa perkara itu (syarikat judi beri dana), bagi saya pertuduhan itu fitnah dan satu pembohongan , kita akan bincang dengan peguam kita apa langkah seterusnya kita akan ambil terhadap PM dań TPM, ‘’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan di Kuala Lumpur bagi mengulas kenyataan Azalina berhubung perkara itu semalam.
Dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Mas daripada Perikatan Nasional, Ahmad Fadhli Shaari, Azalina yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata,  siasatan SPRM mendapati tiada bukti parti-parti dalam PN menerima sumbangan daripada dana syarikat judi pada PRU15 lalu, 

Kata Azalina, SPRM menjalankan kajian terperinci mengenai dakwaan itu dan mendapati maklumat yang diterima terlalu umum serta tiada pihak boleh mengesahkannya.

“Justeru, tiada apa-apa fail siasatan dibuka ke atas isu ini,” katanya.

Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mahu mengetahui status siasatan terhadap dakwaan parti-parti di dalam PN mendapat sumbangan daripada dana judi ketika kempen pilihan raya umum lepas.

Pada Dis tahun lalu, beberapa media melaporkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang dari syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.

Anwar berkata Kementerian Kewangan juga mendapati “pelanggaran” dalam pemberian kontrak berjumlah RM600 bilion tanpa tender.

Dalam laporan itu, Anwar dipetik sebagai berkata, dana pilihan raya untuk parti “Melayu” dan parti “Islam” datang dari syarikat perjudian.

Dalam satu lagi jawapan bertulis Azalina berkata, siasatan SPRM juga mendapati tiada unsur penerimaan rasuah terhadap parti-parti yang mendapat dana ketika PRU15.

Azalina berkata demikian bagi menjawab soalan Hadi Awang (PN-Marang) mengenai status siasatan SPRM terhadap parti-parti kerajaan berhubung perbelanjaan ketika PRU15 termasuk sumber dana.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, buat permulaan PN akan menuntut permohonan daripada Anwar dan Zahid berikutan fitnah yang mereka lemarkan kepada gabungan itu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *