DUTA Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono terkejut selepas kes seorang amah atau tukang cuci dirantai dan dikurung dalam bilik air selesai selepas mangsa dibayar RM1,500 pemilik rumah.
Hermono yang bertemu pegawai penyiasat polis di IPD Kajang pagi ini, berkata perkara itu tidak boleh diterimanya kerana pemilik rumah bukan hanya mengambil tindakan sendiri tanpa mengikut undang-undang, malah dia juga melakukan jenayah.
“Saya terkejut polis membenarkan kes ini diselesaikan dengan cara seperti ini. Saya menggesa mereka (polis) mengambil tindakan mengikut undang-undang Malaysia tetapi mereka berkata wanita itu gagal ditemui.
“Ini adalah tugas mereka untuk mencarinya kerana dia sudah tentu ketakutan,” katanya kepada FMT.
Katanya, surat penyelesaian kedua-dua pihak tidak menjadi satu bentuk amaran kepada majikan daripada membuli atau mendera pekerja domestik.
Hermono berkata, polis mendedahkan pemilik rumah merantai pinggang dan kaki mangsa sebelum dikurung dalam bilik air.
Lelaki itu katanya, turut mengunci pintu rumah sebelum pergi ke rumah mangsa bagi mencari barangan kemas yang dipercayai dicuri wanita itu.
“Tindakan ini tidak masuk akal kerana pemilik rumah sepatutnya melaporkan kejadian itu kepada polis untuk tindakan lanjut. Malah, lelaki itu juga tidak menemui barangan berharga yang dikatakan hilang di rumah mangsa.
“Wanita itu adalah tukang cuci separuh masa yang bekerja di apartmen lelaki itu sebulan sekali,” katanya.
Hermono berkata, dalam kejadian pada 21 Mei lalu itu, tukang cuci itu diselamatkan selepas jiran mendengar mangsa menjerit meminta tolong sebelum menghubungi polis yang kemudiannya memecahkan pintu rumah untuk menyelamatkan wanita tersebut.
Semalam, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan mengesahkan kejadian itu kepada Harian Metro.
Katanya, majikan mengesyaki wanita itu mencuri barangan kemas miliknya.
Leave a Reply