3 mangsa kebakaran cedera termasuk Shahrukhan diselamatkan atas bumbung

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

DUA remaja dan seorang kanak-kanak cedera semasa menyelamatkan diri dalam kebakaran di tiga buah teres di Taman Mutiara Rini, Skudai Johor Bahru kira-kira pukul 3 petang tadi.

Tiga mangsa berkenaan iaitu Nur Hidayah Amir Hamzah, 19, Nur Syazliana Shamsudin, 18, dan adiknya, Muhamad Shahrukhan, 8, menyelamatkan diri dengan memanjat atas bumbung sebelum meminta bantuan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Pegawai Bomba Kanan I Kamalrulzaman Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian tersebut pukul 3.18 petang.

“Pihak bomba bertindak menyelamatkan semua mangsa menggunakan tangga dan memberi rawatan awal sebelum menghantar mereka ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurut beliau, kebakaran tersebut memusnahkan tiga rumah teres struktur kekal berkeluasan 6.7x21x4.5 meter setiap satu.

Katanya, dua rumah berkenaan musnah kira-kira 50 peratus manakala sebuah lagi musnah 15 peratus.

“Kebakaran juga memusnahkan motosikal Yamaha Lc 135 sebanyak 30 peratus dan Suzuki Belang (30 peratus) dan SYM110 (30 peratus),” katanya.

Kamalrulzaman berkata, kebakaran tersebut dapat dikawal dan operasi tersebut tamat pada pukul 5.11 petang.

Tambahnya, punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan.

Ujar beliau, operasi berkenaan melibatkan 18 anggota dari BBP Skudai dan BBP Iskandar Puteri dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS)dan satu unit Rapid Rescue Vehicle (RRV).


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *