SEJAK sekian lama, DAP adalah musuh tradisi kepada UMNO dan dilihat sebagai ancaman kepada kaum Melayu dan agama Islam, menurut pemimpin UMNO sebelum ini.
Bagaimanapun, senario benci DAP yang disemai dalam kepala akar umbi UMNO kini terpaksa ditukar kepada sayang dan cinta selepas Presidennya membawa parti itu duduk bersama dengan Pakatan Harapan (PH) yang terdapat dalamnya parti DAP.
Jadi, tidak hairan usaha-usaha untuk menormalisasi sentimen benci kepada DAP kini sedang berjalan dengan rancak memandangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan pada masa terdekat.
Sumber dalaman memberitahu Agenda Daily, semasa pemukiman melibatkan jentera UMNO di enam negeri yang berlangsung di Janda Baik baru-baru ini, banyak isu yang dibincangkan tertumpu kepada kaedah dan pendekatan yang perlu untuk memperlihatkan UMNO dan DAP kini bukan lagi musuh.
Terdahulu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menggesa ahli parti untuk menyokong parti dalam kerajaan campuran khususnya DAP pada PRN nanti dan tidak melihat mereka sebagai musuh utama lagi.
Menurut sumber, kenyataan tersebut adalah langkah pertama yang sedang dimainkan pemimpin UMNO untuk melihat sambutan di bawah dan akan dijadikan kayu pengukur untuk melihat sejauh mana penerimaan sentimen ahli UMNO terhadap DAP.
Namun, reaksi yang diterima dibawah agak membimbangkan apabila akar umbi UMNO dilihat tidak dapat menerimanya, malah terdapat juga ahli-ahli yang mengugut untuk keluar parti dan memboikot jentera parti pada PRN nanti.
Terdapat beberapa fasa yang akan dijalankan UMNO ke arah menormalisasikan sentimen benci kepada DAP dalam kalangan penyokongnya dan mereka mengharapkan ia dapat memberi pemahaman dan penjelasan yang baik kepada ahli-ahli parti dibawah nanti.
“Fasa pertama, gesaan kepada ahli-ahli UMNO untuk tidak melihat DAP sebagai musuh dan melihat ia sebagai sebuah gabungan dalam kerajaan perpaduan.
“Logik yang digunakan adalah ahli UMNO bukan memangkah DAP tetapi memangkah kerajaan perpaduan,” kata sumber yang mengetahui berhubung pemukiman tersebut.
Selepas ini, terdapat beberapa fasa lain yang akan berjalan, antaranya UMNO akan cuba menunjukkan kepada penyokongnya bahawa DAP bukan sebuah parti chauvinis dan perkauman walaupun sebelum ini label tersebut diberikan kepada parti itu.
Imej baik pemimpin DAP akan digunakan UMNO untuk meminta akar umbi memberi sokongan kepada parti tersebut, antaranya UMNO akan cuba memperlihatkan imej sederhana yang dimiliki pemimpin utama DAP yang perlu dijadikan contoh dan tauladan.
Selain itu, program bersama pemimpin utama DAP juga akan lebih banyak diadakan selepas ini bagi menawan hati akar umbi UMNO untuk menyokong parti tersebut, malah ia sudah terbukti baru-baru ini apabila seorang pemimpin DAP di Pulau Pinang dijemput ke rumah terbuka anjuran UMNO negeri itu.
Malah, seorang pemimpin DAP yang hadir dalam program tersebut juga memberi persembahan khas di hadapan para tetamu yang kebanyakkannya terdiri daripada ahli-ahli UMNO.
“Program-program melibatkan pemimpin UMNO dengan DAP akan lebih banyak diadakan selepas ini, malah baru-baru ini rumah terbuka UMNO yang diadakan juga menjemput pemimpin daripada DAP.
“Program ceramah juga akan diadakan kepada akar umbi untuk menjelaskan rasional keputusan UMNO meminta penyokongnya mengundi DAP pada PRN nanti,” katanya lagi.
Susulan kenyataan Mat Maslan baru-baru ini, pemimpin utama DAP juga memberikan respon balas yang sama dengan meminta pengundi mereka untuk menyokong UMNO pada PRN nanti.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, kenyataan Mat Maslan supaya ahli UMNO menyokong DAP adalah logik kerana mereka kini sudah berada dalam satu gabungan kerajaan.
Menurut sumber, naratif untuk menormalisasi sentimen benci DAP sememangnya dirancang secara strategik khususnya kepada pengundi kaum Melayu yang berada dalam UMNO kerana diketahui Pakatan Harapan (PH) tidak mendapat sokongan yang kuat daripada kumpulan pengundi Bumiputera.
Mengambil kira UMNO masih lagi memiliki saki baki sokongan orang Melayu, DAP juga perlu memainkan peranan mereka dalam usaha menormalisasi sokongan pengundi Cina kepada UMNO juga.
Dalam keadaan ini, UMNO dan DAP mengambil sikap ‘menang-menang’ kerana saling memerlukan satu sama lain.
Tanpa DAP, UMNO mungkin tidak dapat berada lama dalam kerajaan campuran dan tanpa UMNO pula, DAP juga tidak akan dapat menjadi kerajaan Pusat.
Leave a Reply