Tayangan filem Anwar pelajar tingkatan 6, amal bomba, cetus pertikaian

TAYANGAN amal filem biopik Anwar The Untold Story oleh agensi kerajaan mengundang pertikaian dalam kalangan warga maya di media sosial yang menimbulkan persoalan mengenai sumber kewangan dalam penganjuran majlis sedemikian.

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin melalui akaun Facebooknya memuatnaik dua dokumen yang didakwa pekeliling membabitkan tayangan eksklusif filem itu bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta jemputan ke tayangan amal filem berkenaan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur (JBPMKL).

“Sedang viral. ‘The Unsold Story’?,” tulis Radzi yang juga bekas menteri pendidikan di Facebooknya.

Facebook rasmi JBPM memaparkan tayangan amal yang berlangsung 20 Mei di GSC IOI City Mall Putrajaya itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan M Noor Azman Taib dan Ketua Pengarah JBPM, Abdul Wahab Mat Yasin.

Tidak jelas sama ada tayangan percuma itu daripada bajet kementerian atau Jabatan Bomba dan Penyelamat atau sumber lain.

Sementara itu, tayangan amal untuk pelajar tingkatan enam SMK Putrajaya Presint 5 (1) malam tadi dianjurkan Kementerian Pendidikan, dengan menteri Fadhlina Sidek dilaporkan turut hadir.

Penolong kanan sekolah itu, Suziyah Selamat dipetik FMT berkata kehadiran ke tayangan amal itu merupakan aktiviti luar sekolah yang tidak diwajibkan.

“Kementerian tidak memaksa sesiapa tetapi (program) ini disalah anggap apabila ia dipolitikkan,” katanya.

Dia berkata 50 kerusi diperuntukkan untuk sekolah itu dan hanya pelajar yang mendapat kebenaran ibu bapa mereka sahaja dibenarkan menghadiri saringan itu.

Filem ‘Anwar The Untold Story’ memulakan tayangannya di pawagam seluruh negara pada 18 Mei lalu.

Tayangan pembukaan karya yang mengisahkan perjalanan hidup Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu mengutip RM1 juta pada hari pertama tayangan.

Aktor Farid Kamil memegang watak utama sebagai Anwar dalam filem itu.

Meskipun berdepan kritikan, penerbit eksekutif filem itu, Zulkiflee Anwar Haq atau Zunar menyambut baik usaha agensi kerajaan mengadakan tayangan amal filem berkenaan.

Katanya, filem yang dihasilkan daripada kisah benar perjalanan hidup Anwar itu sarat dengan pendidikan dan pengajaran khususnya buat generasi muda.

Jelasnya, paling utama filem itu mendidik masyarakat tentang jenayah rasuah.

“Adengan dalam filem ini di mana Anwar didatangi dengan seorang individu membawa duit untuknya. Duit itu adalah ‘hadiah’ buat Anwar. Tetapi Anwar dengan tegas menolaknya.

“Di sini jelas kepada kita tentang pendidikan mengenai rasuah yang datang dalam pelbagai cara, ‘hadiah’ juga adalah rasuah.

“Begitu juga bagaimana dengan didikan moral apabila Anwar melarang ahli keluarganya menerima projek kerajaan apabila dia dilantik menjadi menteri kewangan,” katanya, lapor Malaysiakini.

Oleh itu Zunar menyeru agar tayangan filem berkenaan diperluaskan kepada agensi-agensi ataupun kementerian kerajaan yang lain.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *