Oleh RIZQI ZABIDI
SEJUMLAH 25 kilogram dadah jenis ganja seberat 25 kilogram bernilai RM77,630, dirampas dalam tiga siri serbuan dilakukan pihak polis di Alor Setar dan Sungai Petani, Kedah dalam tempoh dua hari lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, selain ganja yang dirampas, pihaknya turut menahan empat individu yang dipercayai merupakan ahli sindiket pengedaran dadah tersebut.
Menurutnya, tangkapan pertama dilakukan kelmarin kira-kira pukul 8.30 malam melibatkan dua individu yang berada dalam sebuah kereta di tempat letak kenderaan di sebuah restoran, dekat Jalan Langgar, Alor Setar.
“Pemeriksaan di tempat duduk depan telah menemukan beg hitam yang di dalamnya mengandungi lima ketulan mampat plastik lutsinar berisi tumbuhan disyaki dadah jenis ganja seberat kira-kira lima kilogram.
“Hasil maklumat lanjut katanya, pihak polis kemudiannya telah menahan dua lagi lelaki menaiki motosikal jenis Honda EX5 berwarna biru di tepi jalan Lorong Seruling, Taman Seruling di Sungai Petani kira-kira pukul 12.40 pagi semalam,” katanya.
Tambahnya, pemeriksaan terhadap dua lelaki itu menemukan lima ketulan mampat plastik lutsinar berisi tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja, juga seberat kira-kira lima kilogram.
Hasil soal siasat dilakukan katanya, sepasukan pegawai dan anggota polis kemudiannya membuat pemeriksaan terhadap sebuah kereta jenis Proton yang diletakkan di sebuah lorong di Kawasan Perumahan Kampung Batu Dua, Sungai Petani.
“Di situ, pihak kami menemukan 15 bungkusan plastik lutsinar berisi tumbuh-tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja seberat kira-kira 15 kilogram di ruangan khas, tempat duduk penumpang bahagian belakang kenderaan tersebut,” katanya.
Menurutnya, kesemua yang ditahan direman selama tujuh hari hingga 29 Mei depan bagi siasatan lanjut.
“Secara keseluruhannya jumlah rampasan ganja adalah sebanyak kira-kira 25 kilogram dan nilai rampasan dadah berjumlah RM77.630. Nilai sitaan harta pula berjumlah kira-kira RM4,100,” katanya.
Leave a Reply