ringgit BKP

Kesan kenaikan OPR bakal dirasai pada suku kedua

KENAIKAN Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 3.0 peratus baru-baru ini dijangka akan mempengaruhi trajektori pertumbuhan suku kedua tahun ini, demikian kata TA Securities.

Ketua Penyelidiknya, Kaladher Govindan, berkata adalah penting untuk menyedari bahawa kenaikan kadar faedah secara amnya menyebabkan peningkatan kos pinjaman untuk individu dan perniagaan.

Beliau berkata, kadar faedah yang lebih tinggi diterjemahkan kepada peningkatan perbelanjaan pinjaman daripada bank, yang berpotensi menyebabkan pengurangan aktiviti peminjaman, seterusnya memperlahankan pelaburan dan penggunaan.

Katanya, kenaikan kadar faedah terkesan kepada individu yang mungkin menghadapi kadar gadai janji lebih tinggi, berpotensi menjejaskan keupayaan mereka untuk membeli rumah atau melabur dalam hartanah.


“Begitu juga dengan perniagaan, berkemungkinan menghadapi cabaran dalam mengakses kredit mampu milik untuk projek pembesaran atau pelaburan, yang boleh melembapkan aktiviti ekonomi.

“Bagaimanapun, semasa taklimat penganalisis yang dijalankan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), bank pusat tidak melihat apa-apa tanda tekanan dalam ekonomi buat masa ini,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Kaladher berkata, jika keputusan bank pusat untuk mengekalkan kadar faedah berbeza dengan langkah yang dibuat oleh bank pusat utama lain untuk menaikkan kadar, terdapat kemungkinan pengaliran keluar modal yang lebih besar dari negara.

Beliau berkata, ia berikutan pelabur mungkin mencari pulangan yang lebih tinggi di tempat lain, mengakibatkan penurunan dalam pelaburan asing dan berpotensi melemahkan mata wang negara.

“Justeru, penting untuk memantau secara rapat faktor-faktor ini kerana ia boleh membentuk prestasi ekonomi secara ketara dan keputusan strategik terbaik pada suku akan datang,” katanya lapor Berita Harian.

Kaladher berkata, secara keseluruhan landskap ekonomi Malaysia dijangka mempamerkan daya tahan, disokong oleh pasaran tenaga kerja yang berkembang dan permintaan domestik yang konsisten.

Paling penting, beliau berkata negara ini menyaksikan penurunan progresif kadar pengangguran yang mencecah serendah 3.5 peratus pada Mac 2023, paras terendah sejak Februari 2020.

Katanya, ini menghasilkan purata kadar pengangguran 3.5 peratus pada suku pertama 2023, berbanding dengan 3.6 peratus pada suku keempat 2022.

“Dalam masa sama, terdapat penurunan mendadak purata jumlah penganggur, dengan angka pada Mac lalu berada pada 588,700 orang berbanding dengan 669,200 orang pada Mac 2022.

“Selain itu, jumlah individu bekerja berterusan meningkat, mencecah rekod tertinggi 16.22 juta orang pada bulan sama. Perkembangan menggalakkan dalam pasaran buruh ini, ditunjukkan menerusi penurunan kadar pengangguran dan peningkatan jumlah individu bekerja, adalah penting dalam memperkukuh kestabilan ekonomi Malaysia.

“Trend seperti itu mencerminkan kemantapan permintaan domestik, mencetuskan persekitaran positif bagi pertumbuhan dan kemakmuran ekonomi yang mampan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *