Jam tangan berunsur LGBT dirampas, Swatch rancang ambil tindakan undang-undang

PENGELUAR jam dari Switzerland, Swatch Group akan mengambil tindakan undang-undang untuk mendapatkan kembali koleksi jam bertema warna pelangi dari ‘Pride Collection’ yang dirampas Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada awal bulan ini.

Menurut Reuters, CEO Swatch Nick Hayek berkata beliau kecewa dengan kejadian itu dan menegaskan koleksi jam warna pelangi dengan mesej keamanan dan kasih sayang itu tidak membahayakan sesiapa.

Reuters yang memetik akhbar Switzerland, Tages-Anzeiger sebagai berkata, syarikat itu akan mengambil tindakan undang-undang untuk mendapatkan semula koleksi jam yang dirampas itu.

Terdahulu, KDN menyerbu 11 butik Swatch di pusat beli belah, antaranya Pavilion KL, One Utama, Sunway Pyramid, Mid Valley Megamall, dan Suria Sabah pada 13 dan 14 Mei lalu.

Lima butik di pusat beli belah di Alor Setar, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Johor Bahru, dan Kuching diberi amaran.

Serbuan itu dilaporkan susulan warganet mengaitkan koleksi berkenaan dengan sokongan kumpulan rock Britain, Coldplay, terhadap masyarakat lesbian, gay, bisexual dan transgender (LGBT).

Timbalan Presiden Muda Amira Aisya Abdul Aziz menggesa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan pendirian Putrajaya berhubung serbuan itu dan melahirkan kebimbangan dengan ‘kesamaran’ terhadap apa yang boleh ditafsirkan sebagai ‘berbahaya’.

“Adakah kita akan mula menyerbu semua kedai yang menjual apa-apa dengan hiasan pelangi/’pride’, termasuk perniagaan kecil?,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu, lapor FMT.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *