Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
JABATAN Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) diarahkan mengambil tindakan segera ke atas satu penganjuran pesta seks ‘Gang Bang JB Party’ yang sedang tular dijadualkan berlangsung bulan depan.
Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, kerajaan negeri mengecam penganjuran acara yang secara terang-terangan mengajak orang ramai melakukan maksiat.
Beliau memberi amaran supaya mana-mana pihak tidak melakukan perkara yang buruk di negeri ini.
“Mengajak orang melakukan maksiat terang-terangan dan tak bermoral. Saya sudah arahkan JAINJ siasat dan ambil tindakan segera.
“Saya bagi amaran! Demi Allah, saya tak akan benarkan ia berlaku di Johor,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya.
Mohd Fared membuat kenyataan itu susulan penyebaran kad jemputan penganjuran acara diberi nama ‘Gang Bang JB Party’ yang dijadualkan berlangsung antara jam 4 petang hingga 9 malam, 20 Jun depan.
Turut dikongsi ciapan di Twitter apabila ada yang bertanya adakah golongan lesbian, gay, biseksual, trangander (LGBT) boleh turut serta dalam acara itu.
Mengulas lanjut, Mohd Fared memohon kerjasama orang ramai untuk mencegah kegiatan tidak bermoral itu.
“Semua mesti bantu cegah dan halang kegiatan tak bermoral ini. Sebarkan!,” ujarnya.
Leave a Reply