PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) melahirkan rasa kecewa dan bimbang dengan kemerosotan berterusan nilai ringgit serta situasi Bursa Malaysia yang terus melemah.
Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, situasi itu langsung tidak menggambarkan kenyataan pemimpin Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN) sebelum ini kononnya kestabilan negara menerusi pembentukan Kerajaan Perpaduan akan mengukuhkan serta melonjakkan semula ekonomi negara.
Sebaliknya, tambah beliau, apa yang berlaku ketika ini adalah nilai pertukaran ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) terus jatuh, malah mencecah kerugian lima hari berturut-turut selain menyusut lebih satu perarus dalam beberapa hari sahaja.
“Kita percaya kejatuhan ringgit yang berterusan akan melanda pembangunan ekonomi sekali gus menggesa kerajaan mengambil tindakan menyelamatkan ekonomi negara supaya rakyat tidak terus hidup dalam keadaan sukar.
“Sehubungan itu, kita menggesa Kerajaan Pusat memanggil pakar industri kewangan segera bagi meneroka strategi yang lebih berkesan dalam menyelamatkan ringgit dan pasaran saham Malaysia daripada terus jatuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tong Keong yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang turut menyelar pemimpin DAP yang disifatkan seolah-olah diam seribu bahasa berhubung situasi ekonomi negara yang buruk.
Jelas beliau, ketika menjadi pembangkang, DAP sentiasa mencari peluang mengkritik dasar ekonomi negara dan menjadikan Menteri Kewangan sebagai sasaran, namun tidak melakukan perkara sama ketika ini.
“Kita juga menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan supaya segera merangka strategi berkesan untuk menyelamatkan ringgit dan pasaran saham negara yang sedang merudum bagi memulihkan keyakinan rakyat dan pelabur,” katanya.
Leave a Reply