TAN SRI Muhyiddin Yassin menggesa kerajaan dapat mengambil langkah-langkah konkrit, segera dan pragmatik untuk mengatasi masalah insolvensi dalam kalangan rakyat.
Ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Insolvensi (Pindaan 2023) bekas Perdana Menteri itu berkata ia boleh dilakukan melalui pendekatan yang komprehensif dan memfokuskan pada perlindungan dan pemulihan kewangan rakyat, diharapkan masalah ini dapat diatasi dengan lebih efektif.
‘’Walaupun secara dasarnya pindaan terhadap Seksyen 33B(2A) Akta 360 menambah 2 kategori pelepasan bankrap baharu tanpa bantahan pemiutang, namun penekanan khusus juga harus diberi oleh Kerajaan terhadap usaha membantu individu muflis untuk bangkit dan membina semula ekonomi,’’ katanya.
Muhyiddin menegaskan, langkah itu penting supaya status kebankrapan tidak kekal sepanjang hayat, sebaliknya menjadi pembakar semangat kepada golongan ini untuk menyumbang kepada ekonomi negara.
‘’Antaranya mengkaji semula proses pelepasan bankrap bagi warga Malaysia yang bekerja di luar negara, yang mungkin mengambil masa yang lama untuk mendapatkan perintah mahkamah sebelum memohon keizinan daripada Jabatan Imigresen,’’ katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Page berkata, hakikatnya, kebankrapan adalah satu bentuk hukuman dan bukan satu skim pembayaran semula, maka sekiranya siBankrap telah menjalani hukuman pada suatu tempoh tertentu yang sesuai dengan berkelakuan baik, maka seharusnya pelepasannya dari status kebankrapan disegera dan dipermudahkan, tanpa melihat pada nilai atau jumlah hutang am yang difailkan.
‘’Saya juga menggesa agar diwujudkan kaedah pelepasan bersyarat yang lebih fleksibel untuk seseorang boleh dilepaskan dari status kebankrapan. Ini boleh dilakukan dengan syarat-syarat dan perjanjian tertentu agar lebih ramai individu dapat kembali membina kehidupan tanpa dibebani proses pelepasan status bankrap yang terlalu lama,’’ katanya.
Muhyiddin turret membangkitkan persoalan keberkesanan kawal selia penyedia kredit dan perkhidmatan kredit bukan bank yang semakin rancak di Malaysia seperti perkhidmatan Buy Now, Pay Later (BNPL) bagi melindungi pengguna, khususnya di kalangan belia agar mereka tidak terjerat dengan hutang, memandangkan Akta Kredit Pengguna masih belum dibentang pada ketika ini.
‘’ Ini kerana perkhidmatan BNPL yang kebanyakannya berkait dengan platform e-dagang ini mengenakan kadar caj yang tinggi jika terlewat bayar ansuran bulanan. Malah, kadar caj atau faedah BNPL ini juga boleh dikatakan lebih tinggi berbanding kadar caj untuk kad kredit,’’ katanya.
Belau berkata, kika dilihat dari sudut makro, BNPL boleh memberi kesan kepada kadar hutang isi rumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi iaitu 89 peratus berbanding 2021.
‘’Melihat kepada kadar hutang isi rumah di Malaysia yang semakin meningkat dari RM1.27 trilion kepada RM1.34 trilion, BNPL boleh memburukkan lagi masalah keberhutangan isi rumah sekiranya tiada sebarang bentuk intervensi tuntas dari pihak kerajaan,’’ tegas beliau.
Kerajaan juga kata beliau wajar meneliti cadangan CUEPACS tentang had tempoh bayaran pinjaman peribadi dan sewa beli kenderaan supaya ia dapat dipanjangkan dari 10 tahun kepada 20 tahun, bagi meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat.
‘’Berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi Malaysia, faktor terbesar kes kebankrapan adalah pinjaman peribadi dengan jumlah kes 20,754 iaitu mewakili 42.24% daripada keseluruhan faktor kebankrapan yang dilaporkan. Selain itu, pinjaman sewa beli kenderaan menyumbang 7,072 kes iaitu 14.39%,’’ katanya.
Leave a Reply