Pengurusan lemah punca isu air Sabah

TIMBALAN Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya berkata, pengurusan lemah punca rakyat negeri itu berdepan isu kekurangan bekalan air ketika ini.

Katanya, kelemahan pengurusan juga menyebabkan kelewatan Loji Rawatan Air (LRA) Telibong 2 membekalkan air ke Kota Kinabalu yang sepatutnya siap tahun lalu.

“Saya sedar masalah air yang berlarutan di Sabah berpunca daripada kelewatan pelaksanaan projek dirancang dan sudah dianugerahkan. Contohnya, LRA Telibong fasa dua untuk memenuhi keperluan pada 2022, tetapi sekarang sudah 2023, belum siap.

“Selama empat bulan menjadi menteri kerja raya, saya kecewa melihat banyak projek ini berdepan masalah pengurusan. Kita akan cari pendekatan untuk memperkemaskan sistem penyampaian bekalan air, khususnya Jabatan Air Negeri Sabah (JANS),” katanya menurut Berita Harian.

Shahelmey berkata, tindakan juga sedang diambil bagi menambah tenaga kerja dan mengemas tadbir urus JANS, selain mengatasi masalah pembekalan air, terutama air tidak berhasil (NRW).

Menjawab soalan asal Shafie Apdal (Warisan-Senallang) mengenai langkah mengatasi masalah bekalan air khasnya musim panas dan kering ketika ini, Shahelmey berkata, penyelesaian jangka pendek dan panjang sedang dilaksanakan di seluruh negeri.

Katanya, penyelesaian itu membabitkan pelbagai isu dihadapi JANS ketika ini seperti paip bocor dan usang, kecurian air, kualiti sumber air mentah semakin merosot dan permintaan air melebihi kapasiti pengeluaran.

“Bagi penyelesaian jangka pendek paip bocor, JANS akan menawarkan kontrak penyelenggaraan paip mengikut zon di seluruh negeri bagi menggantikan paip usang dan berkarat.

“Sekiranya terdapat aduan ataupun laporan kebocoran paip atau paip pecah daripada orang awam, JANS akan mengambil tindakan segera dalam masa 24 jam agar kerja pembaikan dapat dilaksanakan.

Bagi kecurian air semakin berleluasa yang menyebabkan peningkatan NRW, katanya, JANS akan melaksanakan kontrak prabayar dan ‘Small Power Producer Water’ di kawasan padat penduduk atau zon berpotensi berlaku kecurian air.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *