KERAJAAN sedang melaksanakan pelbagai usaha dan rundingan menerusi saluran diplomatik bagi mempercepat proses membawa pulang ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau dikenali Jho Low.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah membuat Notis Merah Interpol terhadap Jho Low sejak 2018.
Azalina dalam jawapan bertulis menambah, SPRM sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasa luar negara bagi mendapatkan segala maklumat berkaitan dengan Jho Low.
“Jho Low telah dituduh secara ‘in absentia’ dengan satu pertuduhan di bawah subseksyen 28(1)(c) dan dibaca bersama Seksyen 23 Akta SPRM 2009 pada 9 Februari 2020 dan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) AMLATFPUAA 2001 pada 29 Jun 2019,” katanya dalam kenyataan tersebut, lapor Astro Awani.
Ahli Parlimen Pengerang itu berkata demikian menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis)
yang meminta menyatakan sama ada kerajaan telah atau akan meminta kerajaan China bagi membawa pulang Jho Low ke negara ini dan bilakah beliau akan dibawa pulang dan syarat-syaratnya.
Pada 4 Mei lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kerajaan sedang berunding dengan beberapa negara bagi mengekstradisi Jho Low.
Perdana Menteri berkata, memang ada perundingan secara diplomatik berhubung perkara itu dijalankan dengan beberapa negara.
Sementara, Pada 12 Mei lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, memaklumkan, siasatan polus terhadap Jho Low yang terbabit dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC) masih berjalan.
Leave a Reply