MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menafikan kerajaan negeri goyah sebaliknya mendakwa masih kuat stabil dan stabil.
Malah beliau juga mendakwa kerajaan pimpinannya semakin kukuh dengan dengan sokongan 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Saya dan rakan-rakan Exco dan semua ADUN kerajaan hari ini sebulat suara menyatakan komitmen untuk terus mendukung kestabilan dalam kerajaan sekali gus menafikan dakwaan kononnya wujud usaha menjatuhkan pentadbiran sedia ada.
“Komitmen secara kolektif ini bukan sahaja atas pertimbangan politik, tetapi mengambil kira tuduhan dan persepsi negatif yang sengaja dibuat ini boleh menggugat kepercayaan para pelabur sekali gus mengundang risiko kepada perjalanan pembangunan negeri,” katanya pada sidang media di Ipoh hari ini.
Sidang media berkenaan dihadiri semua ADUN kerajaan, kecuali ADUN Kepayang, Nga Kor Ming yang juga menteri Persekutuan yang kini berada di Jepun atas urusan rasmi kerajaan.
Penegasan itu dibuat menjawab menjawab spekulasi yang timbul susulan kenyataan Ketua Pas Perak, Razman Zakaria kononnya ada wakil rakyat kerajaan yang datang menemuinya, sekali gus memberikan gambaran seolah-olah wujud gerakan bagi menjatuhkan kerajaan.
Saarani berkata, Razman membuat dakwaan tanpa menyertakan sebarang bukti dan asas yang kukuh.
Dakwaan tersebut sengaja dibuat untuk membentuk persepsi kononnya wujud pergeseran dan ketidakstabilan dalam kerajaan Perak, tambahnya.
“Perlu ditegaskan bahawa kerajaan negeri Perak bukan sahaja kuat dan stabil, malah semakin kukuh dengan didorong semangat kebersamaan, sifat tanggungjawab dan kesungguhan termasuk untuk menjayakan setiap agenda yang digariskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030,” katanya.
Saarani turut menasihatkan semua pihak untuk berpolitik secara bertanggungjawab dengan tidak mencetuskan polemik yang tidak mendatangkan manfaat kepada negeri.
“Sebaliknya ia hanya mengundang kekeliruan dan keresahan rakyat yang sudah muak berdepan episod pergeseran politik.
“Saya juga mengajak semua rakan-rakan parti politik termasuk pembangkang untuk bermuhasabah menyuburkan politik matang dengan memberi idea atau teguran demi kebaikan rakyat dan kemajuan negeri, bukan mencipta persepsi yang akhirnya mengundang ketidakstabilan,” katanya, lapor FMT.
Media semalam melaporkan Razman mendakwa beberapa ADUN kerajaan Perak ada bertemu dengannya, dikatakan berkait rapat dengan spekulasi gerakan menjatuhkan kerajaan negeri itu.
ADUN Gunung Semanggol itu bagaimanapun enggan mendedahkan bilangan dan nama wakil rakyat daripada parti membentuk kerajaan perpaduan Perak yang bertemu dengannya atas inisiatif sendiri.
Sebelum ini, Saarani menegaskan bahawa kerajaan perpaduan di Perak masih kukuh walaupun wujud dakwaan dan khabar angin berkaitan pentadbiran kerajaan negeri akan bertukar Julai ini.
Leave a Reply