SEORANG Ahli Parlimen Pas mempersoalkan status percetakan sejuta naskhah al-Quran ke seluruh dunia seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Januari lalu.
Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) berkata, Anwar membuat pengumuman itu awal tahun lalu sebagai tindak balas terhadap tindakan seorang ahli politik berhaluan kanan Sweden, Ramus Paludan, yang membakar kitab itu ketika tunjuk perasaan di negara tersebut.
“Jadi ketika ini, di mana sejuta al-Quran itu, adakah ia sudah dicetak, siapa yang mencetak, di mana dicetak, bagaimana agihan itu dan dari mana dana untuk mencetak al-Quran tersebut,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Percetakan Teks Al-Quran (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat.
Anwar pada 28 Januari lalu berkata, hanya dengan cara percetakan sejuta naskah al-Quran dapat menjawab ‘kerja gila’ yang dilakukan Paludan itu.
Katanya, Putrajaya turut akan menghubungi negara Islam lain bagi menyelaraskan pengedarannya secara lebih berkesan.
Pada 6 Februari lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) diarah mengetuai satu jawatankuasa khas bagi menyelaraskan usaha kutipan dana percetakan dan pengedaran sejuta al-Quran ke seluruh dunia.
Sementara itu, Tarmizi mempersoalkan mekanisme akan diambil kerajaan dalam menghalang penyebaran teks al-Quran palsu yang dipaparkan melalui aplikasi telefon pintar.
“Bagaimana akta ini dapat mengawal teks al-Quran secara maya, yang hari ini hampir semua dalam dewan (membaca) melalui aplikasi al-Quran dalam telefon pintar kita.
“Sama ada melalui aplikasi Google, pelbagai kaedah dalam alam maya, yang ia sebahagian daripada teks yang perlu dilihat, perlu dikawal, jadi teks yang kita muat turun itu benar-benar mengikut pengawalan yang kita tetapkan,” katanya lapor FMT.
Leave a Reply