Kerajaan Perpaduan gagal selesaikan isu kos sara hidup rakyat – Muhyiddin

KERAJAAN Perpaduan gagal menunaikan janji kepada rakyat terutama dalam menyelesaikan isu kos sara hidup yang melambung tinggi.

Ketika membuat penegasan itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pemerintahan Kerajaan Perpaduan yang tidak meletakkan inisiatif terutama dalam mengendalikan masalah inflasi.

”Namun agak malang sekali harapan yang menjadi harapan yang sia-sia sahaja. Nampak sangat power kerajaan pusat khususnya, dan kerajaan ini tidak berupaya.

”Nak membuktikan kecekapan mereka untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat khususnya dalam bidang ekonomi…. harga barang-barang yang masih melambung naik, kos sara hidup yang tidak dapat terurus. Ini tidak termasuk masalah inflasi yang melanda negara sejak berapa tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Sambutan Aidilfitri Perikatan Nasional di SHAH ALAM malam tadi yang dihadiri lebih 40,000 orang.

Dalam masa sama, beliau kecewa apabila Kerajaan Perpaduan tidak tampil dengan inisiatif konkrit dan jitu untuk menyelesaikan dan membantu masalah rakyat jelata di negara ini.

Sementara itu, Muhyiddin mendakwa kerajaan di bawah pimpinan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional gagal membuktikan mereka berupaya menjaga kemuliaan dan kesucian agama Islam termasuk larangan penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh penganut agama bukan Islam di Selangor.

Muhyiddin juga turut menyifatkan UMNO melakukan pengkhianatan kepada ahli-ahli parti itu dan orang Melayu apabila bekerjasama tengan DAP selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

”Ini (tindakan itu) menimbulkan kemarahan.Tak apalah ada hikmahnya. Bila orang Melayu yang mendukung mereka selama ini mulai sedar terhadap pengkhianatan tersebut,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *