Selangor boleh tumbang jika Amirudin jadi calon MB

PARTI Hijau Malaysia menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mempertimbangkan muka baharu menteri besar Selangor .

Setiausaha Penaja parti itu, Abdul Razak Ismail mendakwa, kerajaan perpaduan mungkin tumbang sekiranya Datuk Seri Amirudin Shari sekali lagi dicalonkan untuk jawatan itu dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Menurutnya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor yang diterajui Parti Keadilan Rakyat (PKR) berdepan serangan sengit dalam PRN nanti dan menamakan calon dengan liabiliti untuk jawatan itu boleh memberi kesan buruk.

“Amirudin gagal menyelesaikan beberapa isu kontroversi membabitkan projek kerajaan termasuk mendalamkan sungai yang dikenali sebagai Selangor Maritime Gateway dan pembangunan kompleks sukan Shah Alam.

“Perdana menteri perlu memilih calon yang lain yang lebih layak lebih arif dan wibawa untuk menjadi menteri besar sekiranya PH dan Barisan Nasional (BN) diberi mandat memerintah Selangor dalam PRN akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Razak percaya Perikatan Nasional (PN) akan menggunakan isu-isu tersebut habis-habisan untuk menumbangkan kerajaan perpaduan di Selangor.

Beliau juga mencadangkan muka baharu dicalonkan PKR untuk DUN Sungai Tua (sebelum ini dikenali sebagai Batu Caves) untuk menggantikan Amirudin yang menyandang kerusi itu sejak 2008.

“Biarlah beliau kekal dan memainkan peranannya sebagai Ahli Parlimen Gombak yang dimenanginya pada PRU 15 yang lalu,” katanya, lapor FMT.

Amirudin pada Khamis lalu mengumumkan kesediaan beliau untuk menerajui kerajaan negeri untuk sepenggal lagi sekiranya PH dan BN memenangi PRN.

Beliau menjadi menteri besar Selangor sejak Jun 2018, menggantikan Azmin Ali yang kini bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *