Kumpulan pertama haji Malaysia tiba di Madinah

SERAMAI 284 jemaah haji kumpulan pertama yang menaiki pesawat Penerbangan Malaysia KT1 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohamed Bin Abdulaziz, Madinah hari ini.

SINAR HARIAN melaporkan, mereka kemudiannya dibawa dengan menaiki tujuh bas ke hotel penginapan, Hotel Saja Al Madinah yang jaraknya 19 kilometer dari lapangan terbang dengan perjalanan mengambil masa kira-kira 22 minit.

Ketibaan jemaah disambut Duta Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah; Timbalan Ketua Rombongan Haji (kebajikan), Nurrinanuwar Shamsuddin; Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan), Dr Abdul Marsudi Manah; Konsul Haji, Mohammed Heikal Mohammed Yusoff dan Pengarah Operasi Madinah, Ashrof Shamsuddin.

Hari ini, sebanyak empat penerbangan berlepas dari KLIA ke Madinah membawa kira-kira 1,100 jemaah haji.

Semua jemaah haji Malaysia yang memasuki Madinah akan menginao di tiga buah hotel iaitu Saja Al Madinah, Anwar Al Madinah Movenpick dan Emaar Royal Hotel yang bertaraf lima bintang yang kedudukannya hanya 50 meter dari Masjid Nabawi.

Sepanjang enam hari berada di Madinah, pelbagai program telah dirancang antaranya aktiviti ziarah dalam iaitu melawat ke Makam Nabi Muhammad SAW, memasuki Raudhah dan program pemantapan ibadah haji bagi menjawab segala persoalan jemaah serta meningkatkan lagi pemahaman berkaitan Rukun Islam kelima itu.

Turut dirancang program ziarah luar iaitu jemaah akan dibawa melawat ke Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Jabal Uhud dan makam syuhada serta ke ladang kurma.

Mengulas mengenai proses ketibaan yang lancar, Wan Zaidi berkata, jemaah tidak perlu menunggu lama di lapangan terbang berikutan manfaat program pra perlepasan jemaah haji atau ‘Makkah Route’.

“Ia memudahkan jemaah haji Malaysia yang tiba di Madinah dan Jeddah dengan urusan pasport dilakukan sebelum berangkat ke sini,” katanya.

Menurutnya, Malaysia adalah antara negara terawal menerima kemudahan program berkenaan kerana mempunyai rekod pengurusan haji yang cemerlang.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *