KETUA Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh percaya penyertaan DAP dalam kerajaan perpaduan boleh membuktikan parti itu bukanlah ‘raksasa anti-Melayu’ seperti yang digembar-gemburkan.
Akmal berkata, sentimen DAP anti-Melayu adalah hasil daripada pemikiran negatif yang ditanam sejak kecil ke dalam fikiran orang ramai.
“Sejak kita menjadi kerajaan perpaduan, kita perlu membuktikan kepada rakyat bahawa apa yang mereka percaya (tentang DAP anti-Melayu) adalah salah dan terpesong,” kata Akmal dalam wawancara Sinar Harian.
UMNO dan DAP adalah rakan gabungan dalam kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pemimpin UMNO dan beberapa pemimpin lain sebelum ini sering menyerang DAP sebagai anti-Melayu.
Baru-baru ini ketua penerangan Pas berkata, antara sebab diberi label itu ialah perlembagaan DAP yang menggesa Perlembagaan Malaysia dikembalikan semula kepada kerangka sekular yang asal.
Kekalahan UMNO dalam pilihan raya rahmat kepada pemimpin muda
Akmal berkata, kekalahan UMNO pada pilihan raya umum November 2022 memberi kelebihan kepada pemimpin muda seperti beliau.
Parti itu kini lebih terbuka dan mengalu-alukan orang muda dan lebih bersedia untuk mendengar pandangan berbeza berbanding UMNO pada zaman kegemilangannya apabila ia menguasai kerajaan dengan majoriti dua pertiga Parlimen.
Beliau menyifatkan hari-hari itu sukar bagi golongan muda.
“Hari ini apabila parti mengalami kegagalan, peluang yang ada adalah kita golongan muda benar-benar boleh membawa perubahan dalam UMNO,” katanya.
UMNO mengalami kekalahan terburuk dalam sejarahnya November lalu, hanya memenangi 26 kerusi berbanding 54 kerusinya pada 2018.
Akmal, yang merupakan Exco Melaka dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUNB) Merlimau berkata, pemimpin muda memegang tanggungjawab untuk menunjukkan ‘politik progresif dan matang’ di mana mereka boleh duduk bersama sekutu dan pembangkang untuk memperjuangkan isu rakyat.
Leave a Reply