DAP bukan hanya wakil orang Cina – Presiden UMNO

Oleh RIZQI ZABIDI

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan DAP kini bukan hanya mewakili orang Cina kerana parti itu juga memiliki Ahli Parlimen Melayu dan India di dalamnya.

Menurut Ahmad Zahid, perkara itu merupakan realiti politik baharu dan UMNO menerima kalangan sahabat dengan semangat ‘Kemalaysiaan’ tulen.

“Tadi secara tak langsung disebut ‘Tok Det’ (Datuk Seri Mahdzir Khalid) yang orang sebelah ‘sana’ kata kenapa mesti berkawan dengan DAP sedangkan parti itu merupakan musuh UMNO dan Barisan Nasional (BN)?

“Itu cerita dulu… Kalau UMNO boleh terima MCA mewakili Cina, MIC mewakili India dan Gerakan sebelum ini yang juga mewakili Cina dan pelbagai kaum… Kini hakikatnya DAP bukan hanya wakil orang Cina.

“Ada Ahli Parlimen Melayu, India mewakili DAP dan ini realiti politik baharu. Kita terima sahabat kita dengan semangat ‘keMalaysiaan’ tulen,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Perpaduan Negeri Kedah di Dewan Pusat Perniagaan Ampang (ABC) di Ampang Jajar, Alor Setar, hari ini.

Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri itu menasihatkan kalangan penyokong Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) agar tidak memikirkan lagi mengenai siapa yang akan menjadi ‘poster boy’ mahu pun Menteri Besar menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

“Fikir menang dulu. Soal ‘poster boy’, siapa ‘MB’ itu bukan hak kita kerana itu adalah hak Sultan Kedah.

“Saya pernah bersama bekas Perdana Menteri dan Presiden parti ‘lebai’ untuk menghadap Sultan Kedah di Istana Kedah, Kuala Lumpur bagi meletakkan orang yang ada sekarang di tempat ini (Menteri Besar). Saya amat menghormati Tuanku yang sangat profesional dan hanya melihat undang-undang tubuh biarpun baginda memiliki kuasa mutlak melantik siapa saja.

“Tetapi baginda hormat gabungan parti mana yang lebih banyak kerusi di Kedah, orang dari parti itu yang akan menjadi wakil untuk dijadikan Menteri Besar,” katanya.

Beliau berkata, kalangan penyokong kerajaan Perpaduan perlu mengenepikan segala perbezaan bagi menghadapi PRN dan saling belajar dari satu sama lain. 

“Cukuplah masing-masing saling berbeza pendapat, berebut kerusi dan berebut menjadi calon. Kita ketepikan perbezaan dan kerjasama dalam satu pasukan hadapi PRN. Selepas itu kita serah kepada tuanku dan itu cara kita

“Datuk Mahfuz Omar (Pengerusi PH Negeri) untuk jentera pilihan raya belajar dengan UMNO dan BN manakala untuk sistem digital pilihan raya, kena belajar dengan PKR. Untuk media sosial belajar dengan DAP dan untuk ceramah serta mengata orang, kita belajar dengan Amanah” selorohnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *