Azmin tidak berhasrat bertanding di PRN Selangor

BEKAS Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak berhasrat untuk bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

“Saya telah beritahu yang saya ingin berehat. Saya telah berkhidmat selama tujuh penggal. Jadi saya fikir kita harus memberi peluang kepada generasi muda dan kita mempunyai calon yang berpotensi dan mereka sangat komited dalam usaha itu.

“Itu adalah keputusan saya yang saya buat enam bulan lalu sejurus selepas pilihan raya umum.. Saya berpegang kepadanya,” kata Azmin kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Hari Raya Perikatan Nasional (PN) Selanggor di Shah Alam malam ini, lapor Malaysiakini.

Azmin mengulas spekulasi bahawa beliau mungkin akan bertanding di kerusi “lebih selamat” di Morib pada PRN Selangor tidak lama lagi.

Ketika ditanya sama ada beliau akan mempertimbangkan untuk bertanding jika diminta oleh kepimpinan Perikatan Nasional (PN), Azmin mengakui terdapat perbincangan “santai” mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, katanya belum ada sebarang perbincangan rasmi dibuat mengenainya.

“Tetapi saya serahkan kepada kebijaksanaan pemimpin dalam PN,” katanya.

Azmin berkhidmat selama satu penggal sebagai ADUN PKR di Hulu Kelang sejak 1999 diikuti tiga penggal di Bukit Antarabangsa sejak 2008.

Beliau kini merupakan ADUN Bukit Antarabangsa di DUN Selangor dan menyandang kerusi itu selama tiga penggal.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Gombak sejak 2008.

Azmin berkata beliau difahamkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bercadang membubarkan DUN pada 19 Jun dan selepas itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menetapkan tarikh pilihan raya negeri.

Pengerusi PN Selangor itu berkata beliau yakin dan optimis dengan prestasi gabungan itu pada PRN akan datang.

Ini kerana katanya, kerajaan persekutuan dilihat tidak menunaikan janji-janji mereka terutama berkaitan menurunkan kos sara hidup dan menangani kenaikan inflasi.

Sebaliknya, Azmin berkata kerajaan PN telah membuktikan sebaliknya ketika menjadi kerajaan.

“Mereka (kerajaan sekarang) banyak bercakap tetapi tanpa sebarang penyelesaian dan tindakan khusus untuk menangani masalah. Di bawah kepimpinan (perdana menteri sebelum ini) Muhyiddin Yassin dan PN pada masa yang sukar itu, kita dapat menguruskan ekonomi dan juga mempercepatkan pemulihan.

“Saya rasa kebanyakan rakyat Selangor adalah orang yang berpendidikan tinggi, golongan pertengahan. Mereka tahu apa yang berlaku dan kami berharap mereka akan memberi kami peluang untuk kembali ke Selangor dan menguruskan ekonomi negeri dan juga kebajikan rakyat,” katanya.

Rakyat juga katanya sudah bosan dengan “politik dendam” yang diamalkan kerajaan persekutuan, katanya.

Sebaliknya Azmin berkata PN boleh menawarkan dasar dan inisiatif yang sudah mula laksanakan semasa gabungan itu berkuasa.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata pelabur asing sedang memerhati tindak tanduk Kerajaan Madani dengan teliti.

Azmin berkata pelabur asing tidak akan yakin dengan kerajaan di mana ada pemimpinnha didakwa di mahkamah kerana rasuah dan dilantik ke jawatan kanan dalam pentadbiran.

“Hakikat bahawa mereka merangkul kleptokrat, pemimpin korup yang memegang jawatan kanan dalam kerajaan, bagaimana anda meyakinkan mereka untuk datang dan melabur di Malaysia?

“Sementara itu, semasa Muhyiddin memerintah, walaupun kita ada kerjasama dengan UMNO dan BN tetapi kita tidak benarkan mana-mana kleptokrat yang menghadapi pertuduhan di mahkamah untuk memegang semua jawatan kanan ini.

“Sebab itu saya nak tanya DAP, kenapa diam? Anda bercakap tentang tadbir urus dan rasuah dan anda membenarkan perdana menteri mempunyai rakan kongsi baru. Itu sangat salah,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *