Johor PN pinang perak

Pas tolak ‘lamaran’ DAP, kekal setia bersama PN-Tuan Ibrahim

PAS akan kekal setia bersama Perikatan Nasional (PN) di sebalik ‘lamaran’ oleh DAP untuk bekerjasama.

Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas tidak akan sekali-kali memungkiri janji dan berbohong kepada pengundi dengan meninggalkan PN setelah memilih bersama-sama komponen lain di bawah satu gabungan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

“Tiada isu peribadi (terhadap DAP) melainkan kami kekal dengan janji kami kepada rakyat sewaktu kempen, dan kami tidak akan membohongi pengundi kami (tidak bersama PN),” katanya yang dipetik Utusan Malaysia.

Menurutnya, Pas akan tetap bersama PN khususnya Bersatu dan mahu menjadi pembangkang yang konstruktif dalam Parlimen sebelum menjadi kerajaan.

Tuan Ibrahim mengulas cadangan veteran DAP, Lim Kit Siang agar kerajaan perpaduan bekerjasama dengan PAS menjelang pilihan raya negeri akan datang.

Bagaimanapun, Kit Siang berkata, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang perlu terlebih dahulu menghentikan permusuhan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mesti membuktikan keikhlasannya.

Sebelum ini, pertemuan Anwar Ibrahim dengan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz di Kota Bharu, Kelantan mencetuskan persoalan dan ada mengaitkan usaha itu sebagai hulur salam kerjasama antara pemimpin kerajaan perpaduan dengan Pas.

Malah Anwar menyatakan kerajaan sedia bekerjasama untuk menyelesaikan masalah air dihadapi Kelantan yang diterajui oleh Pas sejak berdekad lalu.

Selain itu, Tuan Ibrahim berkata, sekalipun tidak menerima peruntukan kerajaan Pusat, Pas dan PN berusaha sebaik mungkin melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat kerana menyifatkannya sebagai satu kewajipan dan amanah.

Tuan Ibrahim turut menyentuh mengenai penarikan rayuan kerajaan terhadap keputusan penting yang membenarkan seorang wanita Kristian di Sarawak Jill Ireland menggunakan kalimah Allah.

Katanya, kerajaan sepatutnya melaksanakan reformasi sebagaimana dilaungkan dengan membetulkan sistem yang ada dan mendukung Islam sebagai agama rasmi.

“Kami nyatakan desakan agar kerajaan mesti meneruskan rayuan penggunaan kalimah Allah dan melarang penggunaannya kepada bukan Islam agar kerajaan Persekutuan mesti selaras dengan pendirian Majlis Fatwa Kebangsaan,” tegasnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *