TAN Sri Muhyiddin Yassin mengakui ada menawarkan jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, jika beliau mahu menyertai parti itu.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), yang juga Presiden Bersatu mendedahkan, tawaran berkenaan dikemukakan kepada Khairy selepas bekas Menteri Kesihatan berkenaan dipecat daripada UMNO, pada Januari lalu.
Beliau berkata, tawaran itu dibuat selepas mengambil kira kemampuan Khairy memberi sumbangan bagi memperkukuhkan kedudukan Bersatu, selain ketokohannya sebagai pemimpin politik muda.
“Saya dan dia (Khairy) sudah berbincang hal ini agak lama, sejak dia dipecat. Ketika itu dia ajak saya berjumpa dan berbincang secara terbuka mengenai hala tuju dan ketokohan beliau sebagai ahli politik muda yang berkaliber.
“Sebenarnya, dia tak mohon untuk masuk (Bersatu) tetapi saya tawar dia menyertai. Tawaran masih ada dan saya ada bertanya lagi (perkembangan menyertai Bersatu) ketika dia menghadiri rumah terbuka saya tempoh hari. Jawapannya cair.
“Khairy bagaimanapun belum memberi sebarang keputusan. Saya rasa tak mengapa, kita tak mahu menggesa dia tetapi harapan Bersatu adalah dia menyertai kita dan bantu membina kekuatan parti,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Terdahulu, Muhyiddin, yang juga Pengerusi Institut Masa Depan Malaysia (MASA) merasmikan Majlis Penganugerahan Geran Penyelidikan Program Pembangunan Dasar MASA (MPDP) 2.0, lapor BH Online.
Leave a Reply