Kalimah Allah: Sidang Injil Borneo tidak teruskan kes mahkamah

SIDANG Injil Borneo (SIB) bulan lepas menghentikan perjuangan undang-undang selama 14 tahun untuk menegakkan hak gereja yang berpangkalan di Sabah itu untuk menggunakan kalimah Allah.

Menurut sumber yang rapat dengan perkara itu, SIB memfailkan notis pemberhentian kes itu di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 25 April.

Pemberhentian gereja itu berlaku tujuh hari selepas kerajaan Persekutuan menghentikan rayuannya untuk membatalkan keputusan mahkamah yang membenarkan warga Sarawak Jill Ireland menggunakan perkataan Allah untuk tujuan agama dan pendidikan.

“Ia (semakan kehakiman SIB) telah dihentikan demi kepentingan keharmonian negara,” kata sumber itu yang enggan namanya disiarkan.

Sumber itu juga menyatakan harapan bahawa tiada lagi polemik mengenai isu itu, berikutan pemberhentian tindakan undang-undang SIB serta rayuan kerajaan.

Malaysiakini cuba menghubungi wakil undang-undang kerajaan mengenai kes SIB ini untuk mendapatkan maklum balas lanjut.

SIB dan Reverend Jerry Dusing memfailkan tindakan undang-undang itu pada 10 Disember 2007, berikutan rampasan tiga kotak buku pendidikan Kristian dalam Bahasa Malaysia yang mengandungi kalimah Allah oleh jabatan kastam.

Rampasan itu dilakukan di Terminal Penerbangan Tambang Murah ketika itu di Sepang pada Ogos tahun yang sama.

Buku-buku itu telah dikembalikan kepada SIB pada tahun 2008.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *