SEORANG jurusensor senjata pesawat tempur Sukhoi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut dalam kemalangan jalan raya di Seberang Jaya, Pulau Pinang, semalam.
Menurut TUDM dalam satu kenyataan, Mejar Hendrinraj Pulvendiran yang berkhidmat di Pangkalan Udara Gong Kedak sedang bertugas di Pangkalan Udara Butterworth ketika kejadian.
“Mendiang meninggalkan isteri, Ann Linda Anthonysamy dan seorang anak lelaki berusia dalam lingkungan tiga tahun.
“Mayat mendiang telah diuruskan oleh pihak Pangkalan Udara Butterworth setelah selesai urusan bedah siasat di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang seterusnya dibawa ke Pangkalan Udara Subang untuk penghormatan terakhir,” katanya.
TUDM memberitahu, mayat mendiang dibawa ke Bangunan Pergerakan Udara Pangkalan Udara Subang yang telah sedia ditunggu ketibaannya oleh Panglima Operasi Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Lt Jen Datuk Mohd Shahada Ismail TUDM yang turut mewakili Panglima Tentera Udara, berserta pegawai-pegawai kanan TUDM, pegawai-pegawai dan anggota LLP untuk penghormatan terakhir.
Selain itu TUDM berkata, Panglima Operasi Udara telah menyantuni waris mendiang, menyampaikan ucapan serta surat takziah dan sumbangan kematian.
“Seterusnya beliau dan warga udara yang berada di Bangunan Pergerakan Udara telah memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang.
“Kumpulan pengusung kemudiannya turut memberikan penghormatan dan mengusung keranda menaiki kenderaan untuk dibawa pulang ke kediaman keluarga di Seremban bagi tatapan dan penghormatan terakhir oleh waris, ahli keluarga, saudara mara serta kenalan sebelum urusan pengebumian dilaksanakan dengan bantuan Pangkalan Udara Gong Kedak dan Pangkalan Udara Sendayan yang dijadualkan pada 18 Mei 23.
“TUDM turut mengucapkan salam takziah kepada ahli keluarga mendiang yang juga merupakan suatu kehilangan aset TUDM iaitu sumber manusia.
“Semoga mereka tabah dan bersabar menerima ujian hidup kehilangan orang yang disayangi,” katanya, lapor Astro Awani.
Leave a Reply