Tindakan tarik semula rayuan kalimah Allah melampau dan biadab 

Oleh RIZQI ZABIDI

TINDAKAN kerajaan menarik semula rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah disifatkan sebagai melampau dan biadab.

Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara, Irwan Fahmi Ideris berkata, pihaknya mengecam keras tindakan itu kerana ia dilihat seolah-olah mencabar kedudukan agama Islam.

Katanya, hal agama Islam tidak seharusnya cuba diperkotak-katikkan ketika rakyat bukan Islam bebas menganuti dan mengamalkan agama mereka.

“Tidak cukup lagikah kebebasan menganuti dan mengamalkan agama lain? Umat islam di negara ini tidak pernah mempertikaikan dan menyentuh isu agama lain, jadi mengapa tindakan ini dibiarkan berlaku oleh kerajaan Madani ini?

“Kalimah Allah wajib dipertahankan oleh mana-mana pihak yang menjadi kerajaan. Janganlah jadi pengecut serta berlembut dengan mana-mana pihak yang mempersoalkan perkara menyentuh agama Islam.

“Sekiranya ia berlaku, maka pimpinan kerajaan Madani gagal dalam menjaga dan mempertahankan agama Islam serta keharmonian masyarakat negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau dalam pada itu turut mengingatkan semua pihak mengenai kebangkitan umat Islam dalam mempertahankan kalimah Allah pada 2014 dengan Perkasa turut berhimpun di luar mahkamah bagi mendengar dan mengikuti prosiding kes ketika itu.

“Perkasa amat konsisten dalam isu ini dari dulu dan kami melihat jika perkara ini dibiarkan, ia akan membangkitkan kemarahan dan memberi ancaman kepada keharmonian negara.

“Kita bukan bercakap soal prinsip dan janji yang boleh diputar beli seperti berlaku hari ini. Ini soal mempertahankan kalimah Allah dan jika bukan kita yang mempertahankannya, di mana letaknya syahadah dalam diri kita yang mengaku beriman kepada Allah,” katanya.

Tambahnya, jika kerajaan takut serta lemah alam mempertahankan kalimah Allah dengan alasan menjaga keharmonian dan sebagainya, mereka seharusnya berundur dan meletakkan jawatan masing-masing kerana gagal mempertahankan perkara yang amat penting.

“Perkasa membantah keras tindakan ini diteruskan. Kami akan terus bertindak mempertahankan kalimah Allah dalam apa jua keadaan.

“Apakah Perdana Menteri tidak mengambil berat berkenaan hal ehwal orang Islam demi mahu kekal berkuasa,” soalnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *