Sindiket judi kaut keuntungan RM100,000 sehari tumpas

SATU sindiket judi online yang mampu meraih RM100,000 sehari berjaya ditumpaskan polis Pulau Pinang dalam serbuan di tiga lokasi berasingan di sekitar negeri itu pada Jumaat hingga Ahad lalu.

Dalam serbuan di Bayan Baru; Butterworth dan Perai itu, tujuh individu warga tempatan termasuk seorang wanita berusia antara 20 hingga 30 tahun turut ditahan dipercayai anggota sindiket judi online terbabit.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah kondominum di Bayan Baru, kira-kira pukul 9 malam, Jumaat lalu, yang mana lima anggota sindiket iaitu empat lelaki dan seorang wanita ditahan.

Ujar beliau, kondominium itu dipercayai dijadikan pusat panggilan (calling centre) sindiket judi berkenaan yang mana pelbagai peralatan antaranya komputer turut dirampas.

“Susulan penahanan suspek-suspek ini, polis menyerbu sebuah lagi premis berhampiran kondominium berkenaan pada Sabtu lalu, namun premis ini tidak berpenghuni,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di Georgetown hari ini.

Menurutnya, pada Sabtu lalu juga iaitu kira-kira pukul 11 malam, polis menahan seorang lelaki warga tempatan di Butterworth sebelum seorang lagi suspek lelaki ditahan di Perai Ahad lalu, kira-kira pukul 7.30 malam.

Ujar beliau, suspek yang ditahan bertindak sebagai operator ‘calling centre’ dan sindiket itu menggunakan aplikasi seperti Telegram, WeChat dan WhatsApp untuk mempromosi pelbagai permainan perjudian secara online menggunakan telefon.

Jelasnya, sindiket itu menggunakan akaun bank yang didaftarkan di atas nama mereka dan dipercayai menggunakan beberapa akaun bank di dalam dan luar negara, malah turut melibatkan pelanggan di negara jiran.

“Kita percaya terdapat tiga individu yang dipercayai menjadi ketua sindiket ini yang masih bebas dan usaha kini sedang giat dijalankan untuk mengesan mereka,” katanya.

Tambah beliau, kesemua tangkapan ditahan reman selama empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Selain itu, tambahnya, polis turut merampas peralatan yang dipercayai digunakan sindiket itu antaranya 34 buah telefon bimbit; lima keping kad rumah; wang tunai RM15,200; 10 buah komputer pelbagai jenama; lima buah kereta pelbagai jenama dan empat buah motosikal.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *