PERTUBUHAN-PERTUBUHAN Pembela Islam (PEMBELA) mengemukakan enam desakan kepada kerajaan termasuk tindakan segera bagi menangani kebimbangan umat Islam kemungkinan penyebaran fahaman pluralisme secara meluas di negara ini.
Setiausaha Agungnya, Aswanizam Alias berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu memberikan justifikasi yang konkrit berhubung langkah menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.
“Kita NGO (pertubuhan bukan kerajaan) Islam boleh sabar ikut proses perundangan yang ada sejak berpuluh tahun lalu, walaupun kalah, kita terima. Kita tunggu proses (mahkamah) ini dibawa secara matang. Tetapi mengapa Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) tarik balik (rayuan) dengan mengambil tindakan unilateral tanpa rujuk kesemua pemegang taruh.
“Dalam kenyataan Menteri Dalam Negeri hari ini, beliau berkata, kes itu lebih berkaitan isu pentadbiran, isu pekeliling (yang dikeluarkan KDN) pada 1986, yang dibatalkan mahkamah. Beliau turut memberitahu, KDN nak meneliti semula, tetapi dah dua tahun, perkara ini tak dibaiki. Jika betul, ia masih dalam proses, kenapa kena tarik balik (rayuan)?” katanya pada sidang media anjuran PEMBELA, di Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Kuala Lumpur, hari ini.
Hadir sama, Presidennya, Mahmud Hishamuddin dan 11 lagi wakil NGO Islam termasuk Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA), Persatuan Pegawai Muslim Malaysia (PPMM) dan Majlis Perunding Melayu.
Beliau berkata, penjelasan dikeluarkan Saifuddin hari ini tidak dilihat ‘menjernihkan suasana’, sebaliknya menimbulkan lebih banyak persoalan mengenai peranan KDN terutama dalam isu berkaitan menjaga kesucian agama Islam sebagai agama rasmi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Pertama, KDN perlu beri justifikasi, tak boleh buat keputusan sesuka hati tanpa babitkan sesi libat urus dengan pemegang taruh. Kedua, jika masih ada ruang untuk tarik balik keputusan sekarang, silakan berbuat demikian.
“Ketiga, jika ia tidak ditarik balik, maka NGO seperti PEMBELA akan bergerak ke depan. Ini hanya satu permulaan dan percayalah, gelombang (bantahan) ini akan jadi lebih besar, sehingga kita dapat pastikan perkara yang sepatutnya ditegakkan, dapat direalisasikan,” katanya.
Selain itu, katanya, PEMBELA turut menggesa Majlis Agama Islam di peringkat negeri sebagai pemegang taruh terbesar mengeluarkan kenyataan berhubung isu berkenaan.
Katanya, langkah sama turut diharap dilaksanakan oleh Majlis Raja-Raja sebagai ketua agama di peringkat negeri.
“Keenam, jika tidak ada jalan lain, kami akan satukan NGO Islam, tidak mengira latar belakang dan parti politik yang ingin bersama untuk pastikan isu ini dapat diselesaikan secara baik.
“Perdana Menteri ada kuasa di tangan dia, boleh nasihati KDN. Malah Datuk Seri Anwar (Ibrahim) juga berpuluh tahun dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), jadi inilah masanya ketika diberi kuasa untuk (laksanakan perkara yang sepatutnya,” katanya, lapor Berita Harian.
Leave a Reply