Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SEORANG pemandu rentung selepas terlibat dalam nahas melibatkan tiga lori bawa muatan kayu balak di Jalan Utama, Kampung Temehel, Yong Peng, Batu Pahat pagi tadi.
Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan berkenaan yang berlaku berhampiran Klinik Kesihatan Yong Peng pada pukul 3.14 pagi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Penolong Penguasa Bomba Asyraf Nur Mohd Yusuff berkata, lapan anggota dari BBP Yong Peng, enam anggota BBP Ayer Hitam dan dua BBP Penggaram bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan jentera (EMRS), lori tangki dan Fire Response Vehicle (FRV ) dihantar ke lokasi.
“Kemalangan melibatkan tiga lori jenis Volvo membawa muatan kayu balak. Sebuah lori terbakar dan akibat kemalangan itu dua pemandu tersepit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, seorang pemandu lelaki berusia 39 tahun terperangkap dalam lori itu dan tidak dapat menyelamatkan diri sebelum rentung.
“Pihak bomba mengeluarkan mayat yang rentung dan seorang lagi pemandu lelaki yang berusia 29 tahun tersepit dan cedera dengan menggunakan peralatan khas. Semua mangsa yang terlibat diserahkan kepada pihak polis,” ujar beliau.
Tambahnya, seorang lagi pemandu berusia 30 tahun terselamat dan operasi tamat pada pukul 8.38 pagi.
Leave a Reply